Trump Umum Ada ‘Berita Baik’ Mengenai Gaza Sebelum Bertemu PM Qatar

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata terdapat “berita baik” mengenai Gaza ketika beliau bersiap untuk bertemu dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, di Rumah Putih.

“Kami ada beberapa berita baik mengenai Gaza dan beberapa perkara lain yang sedang kami usahakan pada peringkat tertinggi. Anda telah melakukan tugas yang sangat baik,” kata Trump kepada utusannya bagi Timur Tengah, Steve Witkoff, semasa acara menandatangani rang undang-undang di Rumah Putih.

Bagaimanapun, Trump tidak memberikan butiran lanjut mengenai kenyataan itu.

Ucapannya dibuat menjelang jamuan makan malam bersama Sheikh Mohammed di Rumah Putih.

Majlis makan malam itu diadakan di tengah-tengah rundingan gencatan senjata yang masih berlangsung bagi menghentikan serangan di Semenanjung Gaza yang kini terkepung.

Media Israel melaporkan kelmarin bahawa terdapat “kemajuan dramatik” dalam tempoh 24 jam lalu dalam rundingan tidak langsung yang sedang berlangsung di Doha, Qatar, antara Israel dan Hamas.

Rundingan yang bermula 6 Julai itu bertujuan untuk mencapai perjanjian yang merangkumi gencatan senjata dan pertukaran tawanan antara kedua-dua pihak.

Sejak 7 Oktober 2023, Israel telah melancarkan kempen ketenteraan yang dahsyat di Gaza, mengorbankan hampir 58,500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Lebih 10,000 orang masih hilang dan ratusan ribu telah kehilangan tempat tinggal dalam keadaan kebuluran yang meluas.

Israel menganggarkan kira-kira 50 tebusan masih ditahan di Gaza, dengan 20 daripadanya dipercayai masih hidup.

Sebaliknya, lebih 10,800 rakyat Palestin kini ditahan di penjara-penjara Israel dan ramai daripada mereka dilaporkan mengalami penyeksaan, kelaparan dan pengabaian rawatan, menurut organisasi hak asasi manusia dari kedua-dua pihak.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangannya di wilayah Gaza. – BERNAMA-ANADOLU

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

H4G Sasar Sejuta Rakyat Sertai Himpunan Solidariti Gaza 9 Ogos Ini

Next Post

Tentera Zionis Lancar Serangan Bertubi-tubi Di Syria, Sasar Ibu Pejabat Tentera

Related Posts