
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberitahu, seramai 10 lagi tebusan akan dibebaskan dari Gaza dalam masa terdekat.
Trump membuat kenyataan itu semalam, ketika jamuan makan malam bersama ahli Parlimen di Rumah Putih, sambil memuji usaha utusan khasnya, Steve Witkoff.
Sejak 6 Julai lalu, wakil dari Israel dan Hamas mengambil bahagian dalam rundingan gencatan senjata terbaru di Doha yang membincangkan cadangan gencatan senjata selama 60 hari yang disokong oleh AS.
“Kita sudah mendapatkan semula kebanyakan tebusan, ada lagi 10 yang akan dibebaskan tidak lama lagi dan kita berharap ia akan selesai dengan cepat,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.
Trump sejak beberapa minggu lalu meramalkan bahawa gencatan senjata dan pembebasan tebusan hampir dimuktamadkan, namun perjanjian berkenaan masih belum tercapai.
Semalam, jurucakap Hamas berkata, kumpulan itu menyokong usaha untuk mencapai gencatan senjata sementara dalam perang di Gaza.
Bagaimanapun kumpulan itu boleh menuntut perjanjian menyeluruh jika perjanjian interim gagal dicapai dalam rundingan semasa.
Cadangan gencatan senjata itu merangkumi pembebasan 10 tebusan yang ditahan di Gaza bersama mayat 18 orang lain, dalam tempoh 60 hari.
Sebagai balasan, Israel akan membebaskan sejumlah tahanan Palestin.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza mengorbankan lebih daripada 58,600 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Hampir 1,650 warga Israel dan warga asing terbunuh akibat konflik itu, termasuk 1,200 orang yang terkorban dalam serangan pada 7 Oktober 2023 di selatan Israel, menurut angka yang dikeluarkan oleh Israel. – REUTERS
Sumber: Berita Harian