PBB Usaha Salur Bantuan Ke Gaza Selepas Israel Buka Laluan Darat

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berusaha menyalurkan bantuan kepada seramai mungkin penduduk Gaza yang kelaparan susulan pengumuman Israel membuka laluan darat selamat bagi konvoi kemanusiaan.

Program Makanan Sedunia (WFP) PBB memaklumkan pihaknya mempunyai bekalan makanan yang mencukupi di Gaza atau dalam perjalanan ke wilayah itu untuk menampung keperluan 2.1 juta penduduk bagi tempoh hampir tiga bulan.

Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Tom Fletcher, berkata pihaknya akan memanfaatkan masa yang ada untuk membantu seramai mungkin penduduk yang kelaparan.

Semalam, Israel memulakan ‘penangguhan sementara taktikal’ secara terhad dalam operasi ketenteraannya bagi membolehkan PBB dan agensi bantuan menangani krisis kebuluran yang semakin memburuk.

“Kami mengalu-alukan keputusan Israel untuk menyokong penyaluran bantuan selama seminggu termasuk menarik semula halangan kastam ke atas makanan, ubat-ubatan dan bahan api dari Mesir serta laporan mengenai pewartaan laluan selamat bagi konvoi kemanusiaan PBB,” katanya dalam kenyataan.

Fletcher turut memaklumkan beberapa sekatan pergerakan dilihat mula dilonggarkan sejak semalam berdasarkan laporan awal yang menunjukkan lebih 100 trak bantuan berjaya dikumpulkan.

“Bagaimanapun kami memerlukan tindakan berterusan dan segera termasuk proses pelepasan konvoi yang lebih pantas ke lokasi lintasan dan penghantaran ke Gaza dan perjalanan berulang kali ke lintasan setiap hari.

“Ini akan membolehkan kami dan pertubuhan lain mengambil muatan menggunakan laluan selamat yang berupaya mengelak kawasan sesak dan tiada lagi serangan terhadap orang awam yang berkumpul untuk mendapatkan makanan,” kata Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB.

Beliau berkata dunia kini mendesak bantuan kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa dibenarkan masuk, namun menegaskan jumlah bantuan yang sangat besar diperlukan bagi mengelak kebuluran dan krisis kesihatan lebih dahsyat.

“Apa yang benar-benar diperlukan bukan sekadar penangguhan sementara, sebaliknya satu gencatan senjata kekal,” katanya.

Sementara itu, WFP menyokong pelaksanaan penangguhan taktikal itu dan koridor kemanusiaan yang diumumkan Israel, dengan menyatakan langkah itu sepatutnya membolehkan bantuan makanan kecemasan disalurkan dengan selamat.

“Bantuan makanan adalah satu-satunya cara sebenar untuk kebanyakan penduduk Gaza mendapatkan makanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut agensi itu, sepertiga daripada penduduk Gaza tidak makan selama beberapa hari, manakala seramai 470,000 orang kini berada dalam keadaan seumpama kebuluran yang sudah menyumbang kepada banyak kematian.

WFP menjelaskan lebih 62,000 tan bantuan makanan diperlukan setiap bulan untuk menampung keperluan keseluruhan penduduk Gaza yang mencecah dua juta orang.

Agensi itu turut memaklumkan selain pengumuman penangguhan sementara, Israel juga memberi komitmen untuk membenarkan lebih banyak trak bantuan memasuki Gaza dengan pelepasan yang dipercepatkan serta jaminan tiada kehadiran tentera atau kes tembakan berhampiran konvoi bantuan.

“Dengan pendekatan langkah-langkah ini, kami berharap bantuan makanan yang amat diperlukan dapat disalurkan kepada penduduk yang kelaparan tanpa bertangguh lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, menegaskan sebagai kuasa pendudukan di Gaza, Israel bertanggungjawab memastikan penduduk di wilayah itu menerima bekalan makanan yang mencukupi.

“Kanak-kanak sedang kelaparan dan mati di depan mata kita. Gaza kini menjadi landskap yang dipenuhi serangan maut dan kemusnahan besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengkritik penubuhan yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) iaitu entiti agihan bantuan yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang mula beroperasi pada akhir Mei selepas usaha bantuan diselaraskan oleh PBB disekat.

Menurutnya, lokasi agihan makanan oleh GHF yang bercorak ketenteraan dan kucar-kacir itu gagal sepenuhnya menyalurkan bantuan kemanusiaan mengikut skala dan keperluan sebenar.

Pejabat beliau juga melaporkan lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan sejak GHF memulakan operasi, dengan hampir tiga perempat daripada jumlah itu terbunuh berhampiran lokasi agihan GHF. – AFP

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Trak Bantuan Kemanusiaan Dari Rafah Mula Masuk Ke Gaza

Next Post

Hanya 73 Trak Bantuan Dibenarkan Masuk Ke Gaza Dalam Tempoh 24 Jam Lepas

Related Posts