
GAZA: Tentera Israel memperhebatkan serangan ke atas Bandar Gaza, menyebabkan kes kematian akibat serangan dan kebuluran meningkat secara ketara.
Usaha menawan pusat utama penduduk Palestin terakhir di wilayah terkepung itu dilihat sebagai operasi pembersihan etnik secara terancang, dengan memaksa puluhan ribu penduduk Palestin yang kebuluran berpindah sekali lagi.
Hampir 90 peratus daripada 2.4 juta penduduk Gaza kini hilang tempat tinggal, majoritinya berdepan kebuluran.
Dalam tempoh 24 jam, tujuh lagi penduduk maut akibat kebuluran, menjadikan jumlah korban kelaparan kepada 258 orang termasuk 110 kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Serangan Israel semalam turut membunuh sekurang-kurangnya 57 penduduk, termasuk 38 yang sedang mendapatkan bantuan makanan. Sejak perang bermula Oktober 2023, hampir 62,000 penduduk Palestin terbunuh.
Kejiranan Zeitoun, Sabra, Remal dan Tuffah menjadi sasaran utama serangan sejak beberapa hari lalu.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) memberi amaran bahawa rancangan Israel memindahkan penduduk ke selatan Gaza hanya akan menambah penderitaan.
Ribuan keluarga melarikan diri dari Zeitoun selepas pengeboman bertalu-talu memusnahkan kawasan itu. Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh semalam apabila serangan udara membedil Hospital Arab al-Ahli.
Menurut wartawan Al Jazeera, penduduk terpaksa mengosongkan rumah dalam keadaan lapar dan tidak berdaya selepas serangan artileri serta serangan udara meningkat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan satu daripada lima kanak-kanak di Gaza kekurangan zat makanan, manakala puluhan ribu bergantung kepada dapur amal yang hanya menyediakan satu hidangan kecil sehari.
Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memberi amaran Gaza berdepan ‘kebuluran buatan manusia’ dan menggesa agihan makanan dikembalikan di bawah penyelarasan PBB.
Program Makanan Sedunia (WFP) berkata bantuan makanan sedia ada hanya memenuhi 47 peratus keperluan, dengan 500,000 penduduk berada di ambang kebuluran.
Pejabat Media Kerajaan Gaza menuduh Israel menyekat bekalan penting termasuk susu formula bayi, daging, ikan, produk tenusu dan buah-buahan sejuk beku.
Pihak berkenaan menyifatkannya sebagai dasar kebuluran terancang dan pembunuhan perlahan terhadap lebih 2.4 juta penduduk, termasuk 1.2 juta kanak-kanak.
Lebih 40,000 bayi dilaporkan berisiko kekurangan zat makanan teruk, manakala sekurang-kurangnya 100,000 kanak-kanak lain dan pesakit berada dalam keadaan sama. – AGENSI
Sumber: Berita Harian