
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menegaskan petugasnya akan kekal berada di Bandar Gaza meskipun tentera Israel mengarahkan orang ramai untuk berpindah susulan peningkatan serangan dilancarkan pihaknya ke atas kawasan itu.
“Kepada orang awam di Gaza: WHO dan rakan kerjasama akan kekal berada di Bandar Gaza,” menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dalam hantaran melalui X.
Tentera Israel sedang mempergiatkan serangan ke atas Bandar Gaza yang juga pusat bandar utama di Semenanjung Gaza yang dikepung, dengan matlamat untuk merampas bandar itu.
Terdahulu pada minggu ini, tentera Israel memberi amaran kepada orang awam supaya meninggalkan Bandar Gaza.
PBB menganggarkan kira-kira sejuta rakyat Palestin tinggal di dalam dan sekitar bandar berkenaan.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pihaknya sangat terkejut dengan arahan pemindahan paksa terkini yang dikeluarkan oleh tentera Israel itu.
Beliau berkata, arahan rejim Zionis supaya kira-kira sejuta penduduk bandar itu berpindah ke kawasan yang Israel panggil kononnya ‘zon kemanusiaan’ di selatan Semenanjung Gaza, adalah tidak munasabah sama sekali.
“Zon itu tidak mempunyai keluasan kawasan mahupun skala perkhidmatan untuk menampung mereka yang sudahpun berada di sana, jadi apatah lagi bagi menerima kedatangan baharu ke situ,” katanya.
Malah, Tedros memaklumkan bahawa separuh daripada hospital masih berfungsi di Semenanjung Gaza adalah terletak di Bandar Gaza, dan sistem kesihatan yang lumpuh di wilayah berkenaan tidak lagi mampu kehilangan mana-mana fasiliti yang masih bersisa dalam keadaan serangan berterusan Israel.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak, sambil menekankan bahawa malapetaka di Gaza adalah akibat perbuatan manusia dan tanggungjawabnya dipikul oleh semua.
Sumber: Berita Harian