Puasa dan Jihad di Gaza: Mengapa Ramadan di Medan Perang Terasa Lebih Bermakna

“Puasa dan jihad adalah dua perkara yang dapat membebaskan seorang hamba dan negara”.

Ramadan telah tiba. Seperti biasa, kita menyambutnya dengan persiapan yang selesa dan teratur. Bazaar Ramadan kembali meriah, menu berbuka dirancang awal, dan sahur dinikmati tanpa terlalu banyak persoalan. Kita berbicara tentang tarawih, moreh, dan jadual ibadah semua dalam keadaan aman dan cukup.

Namun di tempat lain, Ramadan disambut dengan soalan yang jauh berbeza “adakah kami masih hidup untuk bersahur esok?”.

Di Gaza, puasa bukan sekadar menahan lapar. Ia adalah latihan menahan segalanya ketakutan, keletihan, kehilangan, dan keperitan hidup di bawah kepungan. Anak-anak kecil berpuasa dalam keadaan perut kosong berhari-hari. Orang awam bertahan tanpa rumah. Para mujahidin pula berpuasa di dalam terowong, terputus bekalan asas, dikepung musuh dari setiap arah.

Di sinilah kita mula memahami bahawa puasa dan jihad bukan dua jalan berasingan, tetapi dua disiplin yang bertemu pada satu titik pengorbanan kerana Allah.

Dalam catatan peribadi seorang komander Briged Al-Qassam, As-Syahid Zaki Hammad, beliau merakamkan pengalaman menyambut Ramadan pada tahun pertama Perang Taufan Al-Aqsa. Ramadan yang datang bukan bersama kepastian, tetapi bersama tanda tanya hidup dan mati.

Beliau menulis:

“Apabila masuk Ramadan, kami tidak pasti sama ada kami akan dapat berpuasa atau kami akan mati. Adakah akan ada makanan untuk kami bersahur dan berbuka? Adakah aku mampu menghidupkan malam dengan qiyamullail?”

Ini adalah perasaan seorang mujahidin yang telah berbulan-bulan menghadapi perang, terperangkap dalam kepungan musuh. Meskipun di ambang maut tetapi masih lagi memikirkan tentang bulan Ramadhan.

Puasa melatih mereka menyerahkan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah, sama seperti jihad melatih mereka menyerahkan nyawa dan tenaga demi melawan musuh agama ini.

Beliau menulis lagi bahawa 30 hari Ramadan ketika perang adalah tempoh yang sangat istimewa. Mereka benar-benar merasai kesan tarbiyah Ramadhan dan puasa kepada diri mereka sebagai seorang mujahid.

Ketika qiyamullail, mereka teringat masjid-masjid yang pernah menjadi tempat sujud, kini sudah tiada, diratakan oleh penjajah. Namun kehilangan itu tidak melemahkan semangat juang mereka, bahkan menguatkannya.

Inilah pertemuan puasa dan jihad.
Puasa mendidik jiwa untuk tunduk.
Jihad mendidik jiwa untuk teguh.

Puasa membebaskan hamba daripada belenggu nafsu: lapar, selesa, takut, dan cinta dunia.
Jihad membebaskan tanah daripada belenggu penjajahan dan kezaliman. Tanpa jihad, puasa boleh menjadi ritual peribadi yang tidak memberi kesan kepada realiti umat.

Antara penguat mereka untuk menghadapi bulan puasa dalam perang adalah kata-kata murabbi mereka Syeikh Yunus Al-Astal;

“Puasa dan jihad adalah dua perkara yang dapat membebaskan seorang hamba dan sebuah negara.”

Puasa melahirkan manusia yang merdeka daripada nafsunya.
Jihad melahirkan umat yang merdeka daripada musuhnya.

Dalam terowong, mereka berpuasa sambil mengangkut keperluan perang, memantau pergerakan musuh, dan berkhidmat kepada orang awam Gaza.

Keletihan itu terasa ringan apabila mereka mengingati ayat al-Quran:

﴿إِنَّا كُنَّا مِن قَبْلُ نَدْعُوهُ ۖ إِنَّهُ هُوَ الْبَرُّ الرَّحِيمُ﴾
“Sesungguhnya kami dahulu sentiasa berdoa kepada-Nya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Baik lagi Maha Penyayang.”

Ayat ini bukan sekadar bacaan, tetapi keyakinan bahawa doa yang lahir daripada puasa dan jihad tidak pernah sia-sia.

Bandingkan dengan keadaan kita.
Di sini, puasa sering gagal membebaskan kita daripada nafsu. Kita masih mudah marah, culas beribadah, dan menjadikan puasa sebagai alasan untuk mengurangkan tanggungjawab. Al-Quran terasa berat, kerana nafsu masih memimpin.

Sedangkan mereka berpuasa sambil mempertaruhkan nyawa.

Seorang mujahidin pernah berkata kepada Syeikh Zaki Hammad:

“Sungguh, ini adalah Ramadan terbaik dalam hidupku. Ayat-ayat al-Quran benar-benar masuk ke dalam hati dan menambah semangatku.”

Tidak lama kemudian, beliau syahid.

Kadangkala kita melihat orang yang syahid seolah-olah tersenyum.

Mungkin kerana mereka telah melalui satu ibadah yang paling indah dalam hidup mereka iaitu jihad dalam keadaan berpuasa.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel Hadkan Hanya 10,000 Jemaah Boleh Solat Di Masjid Al-Aqsa Sepanjang Ramadan

Next Post

MSF Ikrar Teruskan Operasi Di Gaza Selagi Mampu Walau Dihalang Oleh Israel

Related Posts