TEBING BARAT, 4 Nov – Lembaga Penentangan Tembok dan Penempatan (هيئة مقاومة الجدار والاستيطان) merekodkan 13 serangan yang dilakukan oleh tentera rejim Israel dan pendatang haram Yahudi terhadap petani, pemetik buah zaitun dan tanah pertanian di pelbagai kawasan Tebing Barat hari ini (Rabu).
Menurut lembaga itu, serangan tersebut terdiri daripada pelbagai bentuk termasuk tembakan, ugutan dengan senjata, menghalang petani daripada pergi ke tanah mereka, memusnahkan pokok zaitun, meratakan tanah, mencuri hasil tanaman dan peralatan, serta melepaskan ternakan ke dalam ladang.
Di wilayah Hebron, pasukan penjajah bersenjata dengan perlindungan tentera pendudukan memusnahkan 27 pokok zaitun di kawasan Wadi al-Sur yang terletak di Khirbet Sheikh, barat bandar Surif. Pokok-pokok tersebut milik penduduk daripada keluarga al-Gharouz.
Tentera rejim juga memaksa petani meninggalkan tanah mereka di kawasan Huwwara di Masafer Yatta, dan menghalang penduduk daripada mencapai tanah pertanian di kawasan al-Tur al-Badawiya dan Abu Saqr di bandar al-Shuyukh.
Di wilayah Bethlehem, tentera pendudukan melepaskan tembakan ke arah penuai zaitun di kawasan Sahl al-Baq’a di bandar Tuqu’, dan memaksa mereka mengosongkan tanah mereka di bawah ugutan senjata, tanpa sebarang laporan kecederaan.
Di wilayah Nablus, merkea menceroboh tanah pertanian di bandar Duma dan merampas buah zaitun sebelum menghalau pemilik tanah dan menghalang mereka daripada meneruskan penuaian.
Lembaga itu menegaskan bahawa serangan berterusan sepanjang musim zaitun bukan sahaja menyasarkan hasil pertanian, malah meluas kepada penindasan terhadap petani dan menghalang mereka daripada mencapai dan memanfaatkan tanah mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, laporan bulanan Pusat Informasi Palestin Ma’ti (مركز معلومات فلسطين معطى) mendedahkan peningkatan pelanggaran Israel dan serangan peneroka di Tebing Barat dan Baitulmaqdis sepanjang Oktober 2026, dengan 15,303 pelanggaran direkodkan berbanding 7,758 pelanggaran pada September, iaitu peningkatan kira-kira 97 peratus.
Menurut laporan itu, pelanggaran tersebut mengakibatkan 10 rakyat Palestin syahid dan 502 lagi cedera, dengan peningkatan jumlah cedera sebanyak 111 peratus berbanding bulan sebelumnya, di samping merekodkan 940 kes penahanan dan 564 kes tahanan.