Pengerusi Biro Politik Hamas, Khalil Al-Hayya, telah menghantar mesej kepada negara-negara Arab dan Islam yang menyeru agar tindakan segera diambil bagi menangani bencana kemanusiaan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza, berikutan sekatan yang berterusan, kekurangan bantuan dan keperluan tempat tinggal, serta penderitaan penduduk yang meningkat dengan kedatangan musim sejuk.
Al-Hayya dalam mesejnya turut membentangkan keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza, menegaskan bahawa apa yang berlaku di Gaza bukan lagi sekadar krisis bantuan kecemasan atau kesan semula jadi peperangan, malah satu realiti yang bercampur dengan dasar kebuluran dan kemusnahan sistematik terhadap keperluan asas kehidupan, serta sekatan ke atas kemasukan bantuan dan bahan-bahan yang diperlukan untuk pemulihan.
Beliau menegaskan keperluan untuk bertindak bagi memaksa pendudukan (Israel) melaksanakan sepenuhnya perjanjian gencatan senjata, termasuk pengunduran sepenuhnya dari Semenanjung Gaza, pelaksanaan segera protokol kemanusiaan yang ditandatangani di Sharm El-Sheikh, membolehkan Jawatankuasa Nasional untuk Pentadbiran Gaza memasuki Semenanjung Gaza dan memulakan tugasnya, serta memastikan institusi antarabangsa dan kemanusiaan dapat mengakses semua kawasan tanpa halangan.
Dalam menghadapi kesan musim sejuk, Pengerusi Biro Politik Hamas menyeru agar satu kempen antarabangsa kecemasan dilancarkan untuk menyediakan keperluan tempat tinggal, pemanas dan bahan api, membaiki rangkaian pembetungan dan saliran air hujan, memulihkan kemudahan yang rosak, serta mewujudkan pusat perlindungan yang selamat dan bermaruah untuk pelarian.
Beliau juga menuntut agar pembiayaan antarabangsa yang diperlukan untuk tindak balas kemanusiaan, pemulihan awal dan pembinaan semula digembleng, serta memastikan kemasukan bahan binaan, peralatan dan jentera yang diperlukan untuk kerja-kerja pembaikan dan pemulihan infrastruktur.
Dari sudut politik dan diplomatik, Al-Hayya menyeru negara-negara berkaitan agar menggerakkan sokongan untuk satu draf resolusi yang mengikat pendudukan (Israel) untuk melaksanakan komitmen kemanusiaannya, dan mengusahakan sidang tergempar serta terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menilai skala bencana kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Dalam tempoh dua hari lalu, Al-Hayya telah mengadakan hubungan dengan beberapa pemimpin dan pegawai di negara-negara pengantara, bertujuan mendorong tindakan segera bagi menjamin bantuan dan memaksa pendudukan (Israel) melaksanakan kewajipan perjanjian yang ditandatangani.
Kesan daripada penurunan suhu udara baru-baru ini telah mendedahkan kerapuhan keadaan pelarian, selepas hujan lebat menyebabkan ribuan khemah tenggelam dan rosak, di tengah-tengah kemusnahan meluas yang menimpa rumah dan infrastruktur, serta kekurangan peralatan, bahan api dan keperluan tempat tinggal.
Walaupun keadaan cuaca mula pulih menurut anggaran Pertahanan Awam, ribuan keluarga masih berdepan dengan kesan khemah yang tenggelam serta kerosakan penutup dan barangan mereka. Bangunan yang rosak memerlukan penilaian kejuruteraan segera, dan kawasan tanah rendah memerlukan kerja saliran air dan pemulihan, dalam keadaan keperluan mendesak untuk campur tangan bantuan kemanusiaan yang berterusan bagi mengelakkan penderitaan penduduk daripada bertambah buruk.