Puluhan ribu rakyat Palestin pada Jumaat, menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Aqsa yang diberkati di Bandar Baitulmaqdis yang dijajah, walaupun dengan kalawan ketenteraan yang ketat dan sekatan yang dikenakan oleh pasukan rejim Israel di bandar itu dan sekitar masjid.
Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis berkata dalam satu kenyataan ringkas bahawa puluhan ribu orang berjaya sampai ke Masjid al-Aqsa dan menunaikan solat di halamannya. Dalam masa yang sama, pasukan rejim meningkatkan bilangan tenteranya di jalan-jalan Baitulmaqdis dan sekitar tembok Bandar Lama serta Masjid al-Aqsa, menghentikan jemaah yang datang ke bandar itu, dan mengenakan pemeriksaan kad pengenalan peribadi mereka, dalam rangka tindakan yang bertujuan mengehadkan akses mereka ke masjid.
Saksi mata melaporkan bahawa pasukan rejim mengenakan sekatan ketat di pintu-pintu Masjid al-Aqsa dan pintu masuk Bandar Lama, terutamanya di sekitar Bab al-Asbat, memasang penghadang besi, dan menghalang puluhan jemaah daripada sampai ke masjid. Tindakan ini menyebabkan kesesakan teruk di pintu masuk Bandar Lama, di samping kesesakan lalu lintas yang teruk untuk kenderaan di sekitarnya, di tengah-tengah berterusannya sekatan tentera yang dikenakan ke atas pergerakan rakyat.
Sekatan ini berlaku dalam konteks tindakan Israel yang berterusan di Bandar Baitulmaqdis yang dijajah, yang bertujuan mengehadkan akses rakyat Palestin ke Masjid al-Aqsa dan menyekat kehadiran mereka di sekitarnya.