
TEL AVIV – Pasukan Pertahanan Israel (IDF) siap siaga untuk mengerahkan kira-kira 80,000 askar simpanan pada Rabu untuk menyertai operasi ‘menakluk’ Bandar Gaza.
Perkembangan membimbangkan itu dilaporkan rangkaian media Israel selepas Menteri Pertahanan, Israel Katz meluluskan kempen pencerobohan digelar Gideon 2.
Kelulusan itu diberikan setelah Katz berunding dengan beberapa pegawai kanan berdasarkan keputusan kontroversi dibuat Kabinet Keselamatan, baru-baru ini yang turut mengundang kecaman komuniti antarabangsa.
Menurut akhbar Yedioth Ahronoth, IDF merancang untuk memanggil kira-kira 60,000 anggota dan disusuli seramai 20,000 lagi dalam tempoh 40 hari di bawah operasi Gideon 2 tersebut.
Pada awal minggu lalu, Ketua Turus Am IDF, Eyal Zamir menggariskan fasa operasi itu termasuk mengukuhkan kedudukan pasukan tentera mereka di utara Gaza sebagai persediaan menggempur Bandar Gaza.
Pelan jahat itu bakal menyaksikan pemindahan paksa kira-kira sejuta penduduk Palestin ke bahagian selatan Gaza sebelum IDF mengepung dan melancarkan kempen pencerobohan berkenaan. – Agensi
Sumber: Sinar Harian