
BAITULMAQDIS: Israel semalam menegaskan tidak akan membenarkan flotila yang membawa bantuan ke Gaza menembusi sekatan terhadap wilayah Palestin itu.
“Israel tidak akan membenarkan mana-mana kapal memasuki zon pertempuran aktif dan tidak akan membenarkan pelanggaran sekatan laut yang sah,” kata Kementerian Luar negara itu dalam satu kenyataan, sambil menuduh Hamas mengatur flotila berkenaan bagi memenuhi agenda kumpulan pejuang itu.
Kementerian itu berkata, kapal terbabit dibenarkan berlabuh di Ashkelon sebelum bantuan disalurkan ke Gaza.
“Jika hasrat sebenar peserta flotila ialah menghantar bantuan kemanusiaan dan bukan untuk kepentingan Hamas, Israel menggesa kapal itu berlabuh di marina Ashkelon dan memunggah bantuan di sana, sebelum ia dipindahkan segera ke Semenanjung Gaza secara berkoordinasi,” katanya.
Global Sumud Flotilla yang turut membawa aktivis pro-Palestin terkenal termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg berlayar menuju Gaza awal bulan ini dari Tunisia selepas beberapa kali tertangguh.
Flotila itu bertujuan menembusi sekatan Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan ke wilayah berkenaan.
Sebelum berlepas, penganjur mendakwa dua bot mereka diserang dron.Israel sebelum ini menyekat dua cubaan aktivis untuk memasuki Gaza melalui laut pada Jun dan Julai lalu.
Sumber: Berita Harian