
BANDAR GAZA – Pengarah Hospital al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya sedang bertugas di kemudahan itu ketika Bandar Gaza terus dihujani bom pada akhir minggu lalu.
Tubuhnya menggigil setelah dua mangsa terkorban yang dibawa ke wad kecemasan merupakan dua ahli keluarganya.
“Hati saya hancur melihat jasad kaku kedua-duanya. Apa sahaja boleh berlaku sekarang dan mangsa cedera atau terbunuh mungkin melibatkan insan tersayang. Kezaliman Zionis berterusan dan jumlah korban kekejaman mereka terus meningkat,” katanya dalam nada kesal.
Al-Shifa terus dibanjiri puluhan mayat penduduk Palestin setelah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan serangan darat kononnya untuk menyasarkan markas terakhir Hamas pada Selasa lalu.
Ketika ratusan ribu sudah menuju ke selatan, masih ramai penduduk yang terperangkap di bandar tersebut kerana sudah terlalu lelah berpindah-randah atau tidak berkemampuan.
“Saya bersama isteri dan tiga anak perempuan kami hanya menunggu mati.
“Zionis melakukan pemindahan paksa bagi membolehkan ia membinasakan Bandar Gaza sepenuhnya, sekali gus menjadikan ia sebagai Beit Hanoun atau Rafah yang tidak boleh didiami untuk tempoh 100 tahun akan datang,” ujar Mohammed Nasar, 38, yang berlindung di kawasan Tal al-Hawa.
Ketika IDF mengeluarkan arahan berpindah secara paksa, ramai penduduk Palestin mengeluh kerana kos perjalanan yang terlalu tinggi selain tidak tahu mahu tuju ke mana lagi.
Perjalanan lebih 12 jam
Kumpulan yang berpindah secara beramai-ramai itu mendakwa perjalanan mereka ke al-Mawasi, ‘zon selamat’ ciptaan Israel mengambil masa lebih 12 jam
Pemilik trak turut mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran AS$1,500 (RM6,310) hingga AS$2,000 (RM8,414) untuk jarak kira-kira 30 kilometer.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira sejuta orang sudah meninggalkan Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya hingga akhir bulan lalu.
Raeda al-Amareen berkata, dia kini hidup dalam ketakutan dengan bunyi letupan yang terus menggegar tengah wilayah tersebut sejak beberapa hari lalu.
“Kami mahu berpindah, namun tiada wang. 10 shekel (RM12) untuk membeli roti pun tiada. Apa yang perlu kami lakukan? Kami hanya mampu berserah, sama ada mati di sini atau ada pihak mencari penyelesaian buat kami,” rintihnya. – AFP
Sumber: Sinar Harian