Rakyat Gaza Anggap Pengiktirafan Palestin Sebagai Kemenangan, Israel Berang

BANDAR GAZA: Pengiktirafan Palestin oleh Britain, Kanada dan Australia semalam mencetuskan reaksi bercanggah, apabila rakyat Gaza menyifatkannya sebagai sinar harapan manakala Israel pula meluahkan kemarahan serta kebimbangan.

Bagi kebanyakan rakyat penduduk Gaza, langkah itu dilihat sebagai pengesahan kewujudan mereka selepas hampir dua tahun peperangan antara Israel dan Hamas.

Misalnya, menurut penduduk, Salwa Mansour, 35, rakyat tidak sepatutnya hanya menjadi angka dalam laporan berita.

“Pengiktirafan ini menunjukkan dunia akhirnya mula mendengar suara kami dan itu sendiri adalah kemenangan moral.

“Walaupun berdepan kesakitan, kematian dan pembunuhan beramai-ramai, kami tetap berpaut pada apa sahaja yang mampu memberi sedikit harapan ,” katanya yang juga penduduk yang dipindahkan dari Rafah ke Al-Mawasi, kawasan diisytiharkan tentera Israel sebagai zon kemanusiaan.

Britain dan Kanada menjadi anggota pertama kumpulan negara maju G7 mengiktiraf Palestin, sebagai usaha menekan Israel menamatkan perang di Gaza.

Dalam usaha menawan Bandar Gaza, pusat bandar terbesar wilayah itu, tentera Israel memperhebat serangan udara serta melancarkan serangan darat besar-besaran.

Namun menurut tentera Israel semalam, setakat ini lebih 550,000 orang sudah meninggalkan bandar itu ke arah selatan.

Pada hari sama, sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh di Bandar Gaza akibat serangan Israel, menurut agensi pertahanan awam wilayah berkenaan yang beroperasi di bawah Hamas.

Seorang penduduk Deir el-Balah, Mohammed Abu Khousa, berharap lebih banyak negara akan mengikut jejak Britain dan Kanada.

“Apabila negara seperti Britain dan Kanada mengiktiraf kami, ia sedikit demi sedikit menjejaskan legitimasi Israel dan memberi perjuangan kami sinar harapan baharu.

“Ini boleh mendorong lebih banyak negara mengiktiraf Palestin dan mudah-mudahan ia dapat menamatkan perang,” katanya.

Bagaimanapun tidak semua rakyat Palestin berfikiran positif terhadap keputusan berkenaan, dengan sebahagiannya menyuarakan keraguan terhadap hasil akhir.

Menurut Mohammed Azzam, penduduk Ramallah di Tebing Barat yang diduduki Israel, pengiktirafan semata-mata tidak mencukupi kerana ada negara yang sudah lama mengiktiraf Palestin, namun ia tidak membawa sebarang hasil.

“Sebaliknya, setiap hari serangan Israel semakin meningkat, pembunuhan tangkapan bertambah; serbuan dan rampasan berterusan, manakala sekatan jalan memenuhi seluruh Tebing Barat.

“Mereka memisahkan Tebing Barat dengan bandar dan kampung. Walaupun negara Eropah mengiktiraf Palestin, hakikatnya ia langsung tidak membantu kami,” katanya.

Selepas pengumuman Britain, Kanada dan Australia, dua menteri sayap kanan Israel, Bezalel Smotrich dan Itamar Ben Gvir, menggesa agar Tebing Barat dirampas, wilayah yang diduduki Israel sejak 1967 sekali gus menyalahi undang-undang antarabangsa.

Sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023, keganasan di Tebing Barat melonjak, malah Israel terus memperluas penempatan di seluruh wilayah Palestin itu.

Di Baitulmaqdis, ramai penduduk Israel melihat langkah itu sebagai berbahaya dan terlalu awal.

Misalnya, penduduk Beit Shemesh, kata Tamar Lomonosov berpendapat sebuah tempat yang penuh keganasan seperti Gaza, di mana rakyatnya sendiri tidak mendapat keperluan asas, wajar dijadikan sebuah negara.

“Mereka hanya cuba mencari jalan untuk membunuh dan berperang dengan Israel,” katanya.

Seorang lagi, Muriel Amar, 62, warga Perancis-Israel, bimbang menjelang rancangan pengiktirafan oleh Perancis, langkah itu mengabaikan realiti utama termasuk nasib tebusan yang masih ditahan di Gaza.

“Selagi mereka belum pulang ke tanah air, saya tidak nampak bagaimana kita boleh menganggap perkara ini selesai.

“Ia juga akan menjadi satu pengesahan kepada kumpulan pengganas seperti Hamas bahawa mereka berada di pihak yang benar, sekali gus menimbulkan… kepahitan di pihak Israel,” katanya.

Perang di Gaza tercetus susulan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.

Serangan itu mengorbankan 1,219 orang di pihak Israel, kebanyakannya orang awam, menurut statistik AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Dalam serangan itu juga, pejuang Palestin menculik 251 tebusan dengan 47 masih berada di Gaza termasuk 25 yang disahkan tentera Israel sudah meninggal dunia.

Sejak itu, tindak balas ketenteraan Israel meragut sekurang-kurangnya 65,283 nyawa di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan wilayah dikuasai Hamas, angka yang dianggap boleh dipercayai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

UK, Australia, dan Kanada Rasmi Mengiktiraf Negara Palestin

Next Post

Israel Tidak Benarkan Kapal Bantuan Flotilla Masuk Ke Gaza

Related Posts