
KUALA LUMPUR: Kapal Alma salah sebuah kapal delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) telah dipintas oleh Israel sebentar tadi ketika menghampiri zon merah kedua.
Ketua Pengarah Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal berkenaan membawa tiga delegasi Malaysia.
“Pada 1 Oktober 2025, salah sebuah kapal delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) iaitu kapal Alma telah dipintas oleh rejim zionis di perairan antarabangsa pada jam 8.35 malam waktu Gaza.
“Kapal ini membawa 3 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelasnya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Kapal berkenaan membawa Musa Alnuwayri, Ilyia Balqis dan Sul Aidil.
Terdahulu, pihak SNCC telah menerima 10 laporan daripada kapal flotilla Malaysia bahawa sedang berlaku formasi kapal perang Israel bagi menghalang dan mengepung lokasi flotila.
Pemerhatian Buletin TV3 juga mendapati siaran langsung kamera litar tertutup GSF memaparkan semua aktivis dalam keadaan bersiap siaga berdepan dengan sebarang tindakan tentera rejim itu.
Sumber: Buletin TV3