130 Lagi Nyawa Diragut, Rundingan Gencatan Senjata Masih Buntu

BAITULMAQDIS: Serangan udara Israel sebagai sebahagian daripada pengembangan pertempuran di Semenanjung Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 130 rakyat Palestin dalam tempoh semalaman, menurut pegawai kesihatan semalam, ketika rundingan terbaru cadangan menamatkan peperangan antara Israel dan Hamas belum menunjukkan sebarang kemajuan.

Serangan udara semalaman itu berlaku ketika Israel bersiap untuk melancarkan serangan darat baharu bagi mendapatkan “kawalan operasi” di beberapa kawasan di Gaza.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan, rundingan tidak langsung di Doha merangkumi perbincangan mengenai gencatan senjata dan pertukaran tebusan serta cadangan menamatkan perang dengan syarat pejuang Hamas diasingkan ke luar Gaza dan kawasan itu dinyahpersenjataan, syarat yang ditolak Hamas sebelum ini.

Seorang pegawai kanan Israel berkata, tiada kemajuan dicapai setakat ini.

Seorang pegawai Hamas memberitahu Reuters: “Pendirian Israel tidak berubah – mereka mahu tebusan dibebaskan tanpa sebarang komitmen untuk menamatkan perang.”

Hamas pula menegaskan, mereka hanya akan membebaskan semua tebusan Israel sekiranya perang ditamatkan, tentera Israel berundur, sekatan bantuan ke Gaza dihentikan, dan tahanan Palestin dibebaskan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, seramai 464 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh seminggu sehingga semalam, berikutan Israel meningkatkan serangan operasi ketenteraan baharu di Gaza

Angka 130 yang maut dalam serangan semalaman adalah tambahan kepada jumlah tersebut.

Tentera Israel tidak mengeluarkan sebarang komen segera mengenainya.

Dalam perkembangan sama, media Israel dan Arab melaporkan, kemungkinan pemimpin Hamas, Mohammed Sinwar yang terbunuh – sesuatu yang boleh merumitkan rundingan di Doha yang bermula Sabtu lalu.

Hamas setakat ini tidak mengesahkan atau menafikan laporan itu.

Namun petugas perubatan Gaza menyatakan, Zakaria Al-Sinwar – pensyarah sejarah dan abang kepada pemimpin Hamas itu masih hidup tetapi dalam keadaan kritikal, meskipun sebelum itu diletakkan di bilik mayat bersama tiga anaknya.

Beliau kemudiannya dipindahkan ke unit rawatan rapi selepas didapati masih bernafas.

Tentera Israel menyatakan, operasi mereka menyasarkan “infrastruktur pengganas” di utara Gaza, termasuk kawasan berhampiran Hospital Indonesia.

Israel menyatakan, objektif utama mereka adalah untuk menghapuskan keupayaan ketenteraan dan pemerintahan Hamas, susulan serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 rakyat Israel dan menculik sekitar 250 orang.

Sejak itu, kempen ketenteraan Israel sudah memusnahkan hampir seluruh Gaza, menyebabkan hampir semua penduduk kehilangan tempat tinggal, dan mengorbankan lebih 53,000 orang, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza. – REUTERS

Sumber: Buletin Tv3

#beritahariini

Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Angka Kematian Di Gaza Akibat Genosid Israel Mencecah 53,339 Orang

Next Post

Bekalan Makanan Mula Dibenarkan Masuk Ke Gaza, Namun Serangan Darat Tetap Dilancarkan

Related Posts