
GAZA: Sekurang-kurangnya 37 mangsa di wilayah Gaza yang musnah termasuk sembilan kanak-kanak terkorban akibat serangan udara semalaman tentera Israel, kata Pertahanan Awam Gaza
Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmud Bassal, memberitahu AFP, 35 mangsa itu terbunuh dalam tujuh serangan udara dan dron Israel di beberapa lokasi.
Sementara itu, dua lagi maut akibat tembakan tentera Israel ketika menunggu bantuan makanan di zon Netzarim, tengah Gaza.
Menurutnya, antara yang terkorban itu turut membabitkan tiga kanak-kanak yang maut dalam satu serangan udara ke atas sebuah rumah di Jabalia, utara Gaza.
Bassal turut memaklumkan sekurang-kurangnya enam lagi kanak-kanak terbunuh di sebuah penempatan di timur laut Bandar Gaza termasuk beberapa orang dalam serangan berhampiran sebuah sekolah yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Setakat petang semalam, tentera Israel tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen.
Ketika kecaman antarabangsa terhadap kematian orang awam di Gaza semakin memuncak, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot semalam berkata, negaranya bersama negara Eropah lain bersedia menyumbang kepada keselamatan agihan makanan di Gaza.
Katanya, inisiatif sedemikian juga akan menangani kebimbangan Israel mengenai kumpulan bersenjata seperti Hamas menyekat bantuan yang disalurkan.
Bagaimanapun, Barrot tidak memperincikan bagaimana Perancis boleh membantu memastikan pengagihan bantuan kepada orang awam di Gaza berjalan lancar.
Sekatan terhadap media di Gaza serta kesukaran untuk mengakses banyak kawasan menyebabkan AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas jumlah korban dan butiran yang diberikan oleh pasukan penyelamat.
Gambar yang dirakam AFP menunjukkan orang ramai meratapi tujuh jenazah termasuk sekurang-kurangnya dua kanak-kanak yang dibalut dengan kain kafan putih dan selimut di Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza.
Rakaman video dari selatan Israel pula menunjukkan kepulan asap menjulang ke udara di utara Gaza susulan beberapa letupan.
Rakaman lain yang diambil AFP di Bandar Gaza menunjukkan asap tebal kelihatan dari bangunan selepas satu serangan.
Di Jabalia pula, seorang jurugambar AFP melihat pasukan penyelamat Pertahanan Awam membantu seorang lelaki yang mengalami kecederaan di bahagian belakang badannya.
“Jika kita tidak memanfaatkan ruang dan momentum yang ada ini, ia akan menjadi satu lagi peluang yang hilang seperti yang berlaku sebelum ini.
“Justeru kita tidak mahu melihat perkara itu berulang,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar, Majed al-Ansari. – AFP
Sumber: Buletin Tv3
#beritahariini
Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj