45 Lagi Jenazah Rakyat Palestin Dipulangkan Ke Gaza

GAZA/ISTANBUL: Kementerian Kesihatan Gaza semalam memaklumkan, pihaknya menerima 45 jenazah rakyat Palestin yang diserahkan oleh Israel melalui Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Ia menjadikan jumlah keseluruhan jenazah sudah diserahkan kini mencecah 270 bawah perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Setakat ini, pasukan forensik mengenal pasti 78 jenazah dan sedang meneruskan pemeriksaan mengikut prosedur serta protokol perubatan yang diluluskan’, sebelum jenazah terbabit melalui proses dokumentasi dan diserahkan kepada keluarga, menurut kenyataan kementerian itu.

Sebelum ini, kementerian itu menyatakan kebanyakan jenazah yang diserahkan Israel menunjukkan tanda penderaan, termasuk kesan pukulan, tangan terikat, mata ditutup dan kecederaan pada muka, selain dihantar pulang tanpa identiti.

Penyerahan jenazah berkenaan adalah sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa 10 Oktober lalu.

Perjanjian itu merangkumi pertukaran tahanan dan mayat antara Israel dengan Hamas, yang diuruskan oleh Turkiye, Mesir serta Qatar dengan penyeliaan Amerika Syarikat (AS).

Keluarga terpaksa mengenal pasti jenazah mangsa yang dipulangkan tanpa nama, melalui tanda fizikal atau pakaian.

Ia berikutan kemudahan forensik di Gaza tidak dapat beroperasi disebabkan sekatan Israel yang telah berlarutan selama bertahun-tahun, selain akibat kemusnahan makmal.

Sebelum gencatan senjata itu, Israel dilaporkan menahan 735 jenazah rakyat Palestin di kawasan yang dikenali sebagai ‘tanah perkuburan bernombor’, menurut Kempen Nasional Palestin bagi Mengembalikan Jenazah Syuhada.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza mengorbankan lebih 68,800 orang dengan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,600 yang lain.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Keluarga Pelarian Di Gaza Berdepan Ancaman Banjir dan Musim Sejuk

Next Post

Trak Bantuan Terus Masuk Ke Gaza Di Bawah Perjanjian Gencatan Senjata

Related Posts