
GAZA: Lapan kanak-kanak terbunuh ketika beratur untuk mendapatkan bantuan pemakanan di luar sebuah klinik kesihatan di Deir el-Balah, Gaza, dalam satu serangan udara Israel semalam.
Menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza, serangan itu adalah sebahagian daripada siri pengeboman yang mengorbankan 66 orang di seluruh wilayah Palestin pada hari sama.
Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), antara yang terkorban termasuk seorang bayi lelaki berusia satu tahun, dengan ibu mangsa dilaporkan cedera parah.
Badan amal berpangkalan di Amerika Syarikat, Project Hope, yang mengendalikan klinik berkenaan, memaklumkan mangsa sedang menunggu klinik dibuka untuk menerima rawatan bagi kekurangan zat makanan, jangkitan dan penyakit.
Project Hope melaporkan 15 kematian, termasuk 10 kanak-kanak dan dua wanita.
Tentera Israel mengesahkan kepada AFP, mereka mensasarkan seorang militan Hamas di Deir el-Balah yang didakwa terlibat dalam serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023. – AFP
Sumber: Buletin Tv3