
GAZA: Sekurang-kurangnya 97 rakyat Palestin terbunuh manakala 230 lagi cedera sejak bermulanya gencatan senjata, menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Ahad. Pihak berkuasa Gaza turut mendakwa bahawa Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata sebanyak 80 kali dalam tempoh tersebut.
Serangan udara Israel dilaporkan menyasarkan pelbagai lokasi di Semenanjung Gaza, termasuk kawasan kediaman dan kem pelarian, dalam apa yang disifatkan sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh pejuang Hamas — dakwaan yang dinafikan oleh kumpulan itu.
Menurut laporan Al Jazeera, serangan terbaharu menyaksikan puluhan mangsa dibawa ke Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah, dengan angka korban terus meningkat. Tentera Israel menyatakan bahawa serangan itu menyasarkan “komander medan, terowong dan depot senjata” milik Hamas.
Walaupun Israel sebelum ini mengumumkan penutupan lintasan dan penggantungan bantuan ke Gaza, tekanan antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat telah membawa kepada pemulihan semula aliran bantuan kemanusiaan pada Isnin.
Sejak konflik bermula pada Oktober 2023, perang Israel ke atas Gaza telah meragut lebih 68,000 nyawa dan mencederakan lebih 170,000 orang, menurut statistik rasmi Gaza. — AL-JAZEERA
Sumber: Buletin Tv3