Tentera Israel Pasang Bahan Letupan pada Leher Warga Emas Palestin dan Paksa Menjadi Perisai Manusia Sebelum Membunuhnya Bersama Isteri

Tentera Israel telah memasang bahan letupan di leher seorang lelaki Palestin warga emas di Gaza dan memaksanya menjadi perisai manusia sebelum membunuhnya bersama isterinya, menurut siasatan oleh laman berita Israel HaMakom.
Lelaki Palestin tersebut, yang tidak dinamakan tetapi dipercayai berusia lebih 80 tahun, diberitahu bahawa jika dia tidak melakukan pemeriksaan seperti yang diarahkan, tentera Israel akan meletupkan bahan letupan tersebut dan “memenggal kepalanya.”
Menurut HaMakom, kejadian itu berlaku pada bulan Mei tahun lalu ketika tentera Israel dari beberapa briged berkumpul berhampiran rumah pasangan Palestin itu, kedua-duanya berusia 80-an, di kejiranan Zeitoun, Bandar Gaza.
Pada waktu itu, tentera Israel melancarkan serangan darat ketiga mereka ke atas kawasan tersebut selepas pertempuran sengit dengan Hamas dan kumpulan pejuang Palestin yang lain.
HaMakom melaporkan bahawa Briged Nahal, Briged Carmeli, dan Unit Multidimensi memutuskan untuk menggunakan lelaki Palestin yang uzur itu, yang berjalan dengan tongkat, sebagai perisai manusia.
Seorang askar Israel memberitahu HaMakom bahawa selepas bahan letupan dipasang pada leher lelaki itu, dia diberitahu:
“Jika dia melakukan sesuatu yang salah atau tidak mengikut kehendak kami, orang yang berada di belakangnya akan menarik tali dan kepalanya akan terputus dari badan.”
“Begitulah dia berjalan bersama kami selama lapan jam, walaupun dia seorang lelaki tua berusia 80 tahun dan tidak mampu melarikan diri. Dan dia tahu bahawa ada askar di belakang yang boleh menarik tali pada bila-bila masa — dan dia akan tamat,” tambah askar tersebut.
Menurut HaMakom, selepas dipaksa memasuki rumah-rumah dan terowong yang didakwa digunakan oleh Hamas, tentera mengarahkan lelaki tersebut dan isterinya untuk meninggalkan kawasan itu menuju ke al-Mawasi, kawasan kecil seluas 1 kilometer persegi yang ketika itu menempatkan ratusan ribu rakyat Palestin yang melarikan diri.
Namun, HaMakom melaporkan bahawa tiada batalion lain yang diberitahu tentang pergerakan pasangan tersebut, dan hanya 100 meter dari tempat mereka dilepaskan, kedua-duanya ditembak mati.
“Mereka mati begitu sahaja, di jalanan,” kata seorang askar lain kepada HaMakom.
‘Protokol Nyamuk’ (Mosquito Protocol)
Menurut HaMakom, keputusan menggunakan lelaki warga emas itu sebagai perisai manusia adalah sebahagian daripada taktik lama tentera Israel yang dikenali sebagai ‘Mosquito Protocol’. Dalam taktik ini, tentera Israel memerintahkan rakyat Palestin untuk memasuki kawasan yang mungkin dipasang perangkap — seperti rumah, terowong, dan bangunan lain — sebelum tentera sendiri masuk.
Walaupun skala penggunaan taktik ini tidak diketahui, Mosquito Protocol adalah amalan yang jelas melanggar undang-undang Israel dan undang-undang antarabangsa, namun ia telah digunakan secara berulang kali di Gaza.
Bukti Penggunaan Perisai Manusia di Gaza
Pada bulan Ogos, akhbar Israel Haaretz melaporkan bahawa tentera Israel telah berulang kali menggunakan rakyat Palestin yang tidak bersalah untuk memasuki rumah dan terowong dalam peperangan mereka di Gaza.
Hampir setahun sebelumnya, pada Disember 2023, laman berita Middle East Eye (MEE) menerima banyak keterangan daripada rakyat Palestin yang mendakwa bahawa tentera Israel memasang bahan letupan pada badan mereka sebelum memaksa mereka memasuki kawasan yang dipercayai digunakan oleh Hamas.
Pada bulan yang sama, kakitangan perubatan di Hospital Shifa memberitahu MEE bahawa tentera Israel menggunakan mereka sebagai perisai manusia ketika memeriksa kawasan hospital.
“Ketika mereka menyerbu stor hospital, mereka menggunakan kami (doktor) sebagai perisai manusia untuk memasuki dan memeriksa kawasan tersebut. Mereka menemui pekerja penyelenggaraan teknikal di sana, menyoal siasat mereka, sebelum menahan mereka,” kata seorang doktor kepada MEE.
Penafian Tentera Israel dan Pendedahan Askar Sendiri
Tentera Israel menafikan menggunakan rakyat Palestin sebagai perisai manusia dan pada hari Sabtu menolak tuduhan bahawa lelaki berusia 80 tahun tersebut dianiaya oleh askar mereka. Tentera Israel juga menolak laporan mengenai kewujudan Mosquito Protocol.
Namun, seorang askar Israel yang diwawancara oleh HaMakom menolak kenyataan rasmi tentera Israel, dengan berkata:
“Mosquito Protocol memang wujud dan diatur secara rasmi. Ia adalah arahan dari peringkat komander batalion ke bawah. Tetapi di peringkat komander briged, mereka akan menafikannya secara total. Bila berlaku masalah, mereka menolak tanggungjawab ke peringkat bawah dan berkata tidak sepatutnya dilakukan,” katanya.
“Malah ketika siasatan dijalankan, mustahil tentera Israel (IDF) akan mengakui bahawa ini adalah arahan rasmi. Tetapi jika anda tanya setiap askar yang bertempur di Gaza, tiada seorang pun yang akan berkata ia tidak berlaku,” tambah askar tersebut.
Sumber: Middle East Eye
‘Sebarkan Kemenangan, Akhiri Penjajahan’
Join telegram channel untuk dapatkan lebih banyak info Bumi Mikraj, Palestin : t.me/bumimikraj