Puluhan ribu rakyat UK pro-Palestin berarak di pusat bandar London pada hari Sabtu untuk bersolidariti membantah rancangan Presiden AS Donald Trump yang mahu mengusir secara paksa rakyat Palestin dari Gaza.

Penganjur menyatakan bahawa perarakan ini merupakan protes pro-Palestin ke-24 yang besar di UK sejak genosid Israel di Gaza bermula pada 7 Oktober 2023. Palestine Solidarity Campaign (PSC), bersama lima kumpulan lain, berkumpul di Whitehall pada tengah hari sebelum berarak ke kedutaan AS di Nine Elms Lane, barat daya London, di mana ucapan-ucapan disampaikan.
Penunjuk perasaan berarak sambil mengibarkan bendera Palestin dan membawa plakad bertulis “Hands off Gaza”, “Stand up to Trump”, dan “Mr Trump, Canada is not your 51st state. Gaza is not your 52nd”.
Antara yang berucap di luar kedutaan ialah bekas pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn, yang menyeru seluruh dunia menolak rancangan Trump. Baru-baru ini, Trump mengumumkan cadangan untuk “mengambil alih” Gaza dan mengusir lebih dua juta rakyat Palestin secara paksa.
Trump turut menggesa Jordan, Mesir, dan negara Arab lain menerima pelarian Palestin — satu cadangan yang menerima kecaman meluas dari negara-negara Arab dan sekutu lain yang menolak rancangan itu sebagai pembersihan etnik.
Dalam wawancara bersama Bret Baier dari Fox News, Trump berkata beliau mahu “memiliki” Gaza dan menjadikannya “projek pembangunan hartanah masa depan”. Apabila ditanya sama ada rakyat Palestin boleh kembali ke Gaza, Trump menjawab:
“Tidak, mereka tidak boleh.”
“Buat masa sekarang, saya akan memiliki kawasan itu,” tambah Trump — seorang bekas pemaju hartanah — sambil berkata: “Anggaplah ia sebagai projek pembangunan hartanah masa depan. Ia akan menjadi tanah yang cantik. Tak perlu belanja besar.”
Survivor Holocaust berusia 87 tahun, Stephen Kapos, mengutuk cadangan Trump kepada agensi berita AFP: “Saya fikir ia sepenuhnya tidak bermoral, tidak sah, tidak praktikal, dan tidak masuk akal.”
Beliau menegaskan:
“Anda tidak boleh sesuka hati mengusir dua juta orang, terutama apabila negara-negara jiran sudah menyatakan mereka tidak akan menerima pelarian itu. Bukan kerana mereka tidak berhati perut, tetapi kerana ia boleh merosakkan kestabilan negara mereka. Jadi, perkara ini tidak akan berlaku, tetapi kenyataan seperti itu sahaja sudah cukup untuk membawa kerosakan besar.”
Sumber: Quds News Network
‘Sebarkan Kemenangan, Akhiri Penjajahan’
Join telegram channel untuk dapatkan lebih banyak info Bumi Mikraj, Palestin : t.me/bumimikraj