
BAITULMAQDIS: Israel merancang untuk mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas Gaza tetapi tidak berhasrat untuk mentadbir wilayah itu, kata Benjamin Netanyahu, semalam.
Perdana Menteri Israel itu berkata demikian dalam satu mesyuarat Kabinet Keselamatan bagi membincangkan pelan terkini setelah melancarkan operasi ketenteraan bertubi-tubi terhadap wilayah Palestin berkenaan sejak Oktober 2023.
Mesyuarat Kabinet itu diadakan tatkala Netanyahu berdepan tekanan hebat dari dalam dan juga luar Israel supaya mencapai perjanjian gencatan senjata demi menyelamatkan lebih dua juta penduduk Gaza daripada ambang kebuluran serta membebaskan tebusan yang ditahan kumpulan pejuang Palestin.
Di tengah-tengah ketegangan kian memuncak, Netanyahu memaklumkan kepada agensi berita Amerika Syarikat (AS), Fox News, bahawa Israel mahu merampas kawalan penuh ke atas Semenanjung Gaza.
Ditanya sama ada Israel akan mengawal ‘keseluruhan Gaza’, Netanyahu berkata: ‘Kami berhasrat sedemikian.’
Beliau dijangka mendapatkan kelulusan Kabinet untuk memperluaskan serangan yang dijangka menyaksikan operasi ketenteraan darat diperhebat ke kawasan padat di mana pihaknya percaya adalah lokasi tebusan disembunyikan, lapor media Israel.
Bercakap kepada Fox News, Netanyahu mendakwa bahawa Israel ‘tidak mahu menyimpan’ Semenanjung Gaza.
“Kami mahu mempunyai perimeter keselamatan. Kami tidak mahu mentadbirnya.
“Kami mahu menyerahkannya kepada pasukan Arab yang akan mentadbir dengan baik tanpa mengancam kami, dan memberi kehidupan baik kepada rakyat Gaza. Itu tidak mungkin berlaku bawah penguasaan Hamas,” dakwanya lagi.
Perancangan rejim Zionis itu untuk memperluaskan perang ke atas Gaza bagaimanapun meningkatkan kebimbangan dalam Israel sendiri berhubung nasib bakal menimpa baki tebusan.
Ketika mesyuarat Kabinet itu diadakan, beratus-ratus penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pejabat Perdana Menteri Israel di Baitulmaqdis dan mendesak supaya perjanjian dicapai untuk membebaskan tebusan berkenaan.
“Satu-satunya cara untuk membawa pulang tebusan terbabit ialah menghentikan perang serta menamatkan penderitaan mereka dan juga semua yang sedang menempuhi konflik amat teruk ini,” kata seorang penunjuk perasaan, Sharon Kangasa-Cohen.
Sumber: Berita harian