
TUBAS: Tentera Israel melancarkan operasi baharu terhadap kumpulan bersenjata Palestin di Tebing Barat yang diduduki, di mana seorang gabenor tempatan memberitahu AFP bahawa mereka sudah menyerbu beberapa bandar.
Tentera, polis dan perkhidmatan keselamatan dalaman Israel, dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka sudah memulakan operasi anti-keganasan yang luas di utara wilayah Palestin selepas menerima risikan mengenai percubaan untuk menubuhkan kubu kuat pengganas.
Tentera berkata, operasi itu bermula dengan serangan udara untuk mengasingkan kawasan itu, sebelum diteruskan dengan ‘pencarian’ di darat, yang membabitkan soal siasat suspek dan rampasan dana.
Ia turut mendakwa sudah menembak mati seorang pengganas yang melontarkan bahan letupan ke arah pasukan (Israel) yang beroperasi di kawasan Qabatiya, dalam wilayah Jenin, bersebelahan Tubas.
Tentera Israel mengesahkan ia adalah operasi baharu dan bukan sebahagian daripada operasi yang dilancarkan pada Januari 2025, terutama menyasarkan kem pelarian Palestin di utara Tebing Barat.
Operasi yang bermula lewat malam itu dijalankan di Tubas, sebuah kawasan majoritinya pertanian yang paling timur laut daripada 11 wilayah di Tebing Barat.
Seorang jurugambar AFP melihat beberapa anggota tentera di dalam bandar Tubas, bersama beberapa kereta perisai yang melalui kawasan itu serta sebuah pesawat pemantauan udara berlegar di atas.
Sementara itu, Gabenor wilayah Tubas, Ahmed al-Asaad berkata, ini kali pertama seluruh wilayah terbabit dan kini berada di bawah operasi tentera Israel.
“Pasukan Israel menyerbu bandar Tammun, Tayasir dan kem pelarian Palestin Al-Faraa selain menutup pintu masuk ke bandar dengan timbunan tanah, jadi tiada pergerakan langsung,” katanya.
Beliau berkata, sebuah helikopter Apache turut digunakan dalam operasi itu, dan menembak ke arah kawasan kediaman.
“Ini operasi politik, bukan keselamatan,” katanya.
Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, perintah berkurung sudah dikenakan di kawasan itu, dan sekurang-kurangnya 24 keluarga dipaksa berpindah apabila tentera Israel mengambil alih rumah mereka.
Kumpulan pejuang Hamas dan Jihad Islam mengecam operasi Israel itu dengan mengatakan tindakan itu sebahagian daripada dasar yang menghapuskan mana-mana kewujudan Palestin bagi mencapai kawalan penuh ke atas Tebing Barat. – AFP
Sumber: Buletin Tv3