
Kuala Lumpur: Salah satu kapal kumpulan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) diserang dron dan terbakar ketika berlabuh di Tunisia.
Perkara itu dikongsikan penyanyi, Zizi Kirana yang turut serta dalam misi kemanusiaan itu.
“Setakat laporan diterima, hanya sebuah kapal sahaja yang diserang, iaitu kapal Family.
“Kapal itu membawa tokoh-tokoh penting yang menerajui kapal Mandaleen seperti Greta, Yasemin, Thiago, Shuayb dan lain-lain.
“Alhamdulillah, kapal-kapal lain berada dalam keadaan baik, dan semua peserta dari Malaysia kini berada di tempat penginapan,” katanya kepada Harian Metro.
Zizi ketika dihubungi berkata, kesemua mereka berada dalam keadaan selamat, namun tidak dibenarkan berada berhampiran pelabuhan.
“Kami juga dilarang untuk pergi ke pelabuhan bagi mengelakkan sebarang kekacauan.
“Syukur, kami semua selamat dan semua kru kapal Family juga berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Berita itu turut dikongsikan rakan seperjuangannya yang juga pendakwah, PU Rahmat Ikhsan di Instagram.
Semalam, kumpulan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol selamat tiba di Tunisia selepas lapan hari berlayar.
Kapal dari Barcelona akan bergabung dengan kumpulan yang ditempatkan di Catania, Itali dan Tunisia di pelabuhan berkenaan sebelum meneruskan misi ke destinasi akhir, Gaza.
Misi kemanusiaan GSF terbesar dalam sejarah dunia itu menyaksikan lebih 1,000 aktivis dari 44 negara mempertaruhkan nyawa merentasi Laut Mediterranean untuk memecah sekatan dikenakan Israel terhadap Gaza.
Kumpulan itu yang belayar dengan lebih 50 kapal flotila membawa bantuan kemanusiaan, ubat-ubatan dan makanan untuk rakyat Gaza yang disekat sejak perang 7 Oktober 2023 meletus.
Sumber: Harian Metro