
BAITULMAQDIS: Israel hari ini menegaskan akan terus mengekalkan kawalan keselamatan sepenuhnya di dalam Semenanjung Gaza, walaupun telah bersetuju dengan gencatan senjata yang diselaraskan oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memaklumkan kepada Kabinetnya bahawa Israel sendiri yang akan memutuskan bila dan di mana untuk menyerang musuhnya, serta negara mana yang akan dibenarkan menghantar pasukan keselamatan untuk menguatkuasakan gencatan senjata itu.
“Israel adalah negara merdeka. Kami akan mempertahankan diri kami dengan cara kami sendiri dan kami akan terus menentukan nasib kami,
“Kami tidak meminta persetujuan sesiapa untuk hal ini. Kami mengawal keselamatan kami,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, rakaman visual Agensi Berita AFP menunjukkan konvoi Mesir telah tiba di Gaza membawa pasukan penyelamat dan jentera berat bagi mempercepatkan pencarian baki tebusan Israel, yang menurut Hamas, hilang di bawah runtuhan wilayah Palestin yang musnah.
Lori pengangkut mengibarkan bendera Mesir dilihat membawa jentolak dan jentera pengorek ke Gaza, diiringi oleh lori pembuangan sampah yang membunyikan hon dan memasang lampu amaran, menuju ke pusat jawatankuasa bantuan Mesir yang berpusat di Al-Zawayda.
Jurucakap kerajaan Israel, Shosh Bedrosian, berkata ketibaan pasukan Mesir itu telah diluluskan sendiri oleh Netanyahu.
“Ini adalah pasukan teknikal sahaja, dan tiada seorang pun daripada kakitangan ini adalah anggota tentera.
“Pasukan itu dibenarkan masuk melepasi kedudukan ‘Garis Kuning’ IDF (Pasukan Pertahanan Israel) ke wilayah Gaza untuk menjalankan pencarian tebusan kami,” katanya.
Menurut terma gencatan senjata yang diselaraskan AS, apabila tentera Israel berundur selepas tamatnya pertempuran ganas dua tahun menentang Hamas, sebuah pasukan antarabangsa, yang dijangka terdiri terutamanya dari negara Arab atau Islam, sepatutnya mengawal keselamatan Gaza.
Namun, Israel menentang sebarang peranan oleh negara pesaing di rantau itu, Turkiye.
Netanyahu, yang kini menghadapi kritikan pihak berhaluan kanan tegar dalam kerajaan gabungannya kerana bersetuju dengan gencatan senjata, mengambil pendirian tegas dalam mesyuarat Kabinet di Baitulmaqdis hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang menamatkan siri lawatan pegawai tinggi Washington ke Tel Aviv, turut menegaskan Israel akan menentukan pasukan antarabangsa mana yang tidak boleh diterima untuk menguatkuasa gencatan senjata.
Juru cakap Israel, Shosh Bedrosian berkata, Netanyahu telah menyatakan ia akan dilakukan sama ada dengan cara mudah atau cara sukar, dan menegaskan Israel akan mempunyai kawalan keselamatan menyeluruh ke atas Semenanjung Gaza.
“Gaza akan dilucutkan senjata dan Hamas tidak akan mempunyai sebarang peranan dalam mentadbir rakyat Palestin,” katanya.
Israel telah mengundurkan tenteranya dari dalam Gaza sehingga ke ‘garisan Kuning’ tetapi kekal mengawal lebih daripada separuh wilayah itu, meluluskan setiap konvoi bantuan PBB yang melalui sempadannya, dan melakukan sekurang-kurangnya dua serangan sejak gencatan senjata.
Netanyahu berkata negara itu telah mengebom Gaza dengan 150 tan peluru pada 19 Oktober selepas dua askarnya terbunuh, dan melakukan serangan pada Sabtu yang menyasarkan seorang pejuang Palestin.
AS dan sekutunya pula menubuhkan pusat pemantauan gencatan senjata di selatan Israel, Pusat Penyelarasan Awam-Ketenteraan (CMCC), dan menghantar beberapa pegawai tinggi dari pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, untuk memantau pematuhan gencatan senjata itu. – AFP
Sumber: Berita Harian