Israel Halang Kemasukan Satu Juta Picagari Vaksin Kanak-Kanak Gaza

GENEVA: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan barangan penting, termasuk picagari untuk vaksinasi kanak-kanak dan botol susu formula bayi dihalang daripada memasuki Gaza oleh Israel.

Sekatan ini sekali gus menghalang agensi bantuan daripada membantu penduduk yang memerlukan di wilayah yang musnah akibat peperangan itu.

Ketika UNICEF sedang melaksanakan kempen vaksinasi besar-besaran untuk kanak-kanak di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh, agensi itu berkata pihaknya menghadapi kesukaran besar untuk membawa masuk 1.6 juta picagari serta peti sejuk berkuasa solar bagi menyimpan vaksin ke Gaza.

Picagari-picagari berkenaan telah tertangguh untuk pelepasan kastam sejak Ogos lalu.

“Kedua-dua picagari dan peti sejuk itu dianggap sebagai barangan ‘dwi-guna’ oleh Israel dan kami mendapati amat sukar untuk mendapat kelulusan dan pelepasan bagi barangan ini, sedangkan ia amat mendesak,” kata jurucakap UNICEF, Ricardo Pires.

Istilah “dwi-guna” merujuk kepada barangan yang dianggap Israel mempunyai potensi untuk digunakan bagi tujuan ketenteraan, selain kegunaan awam.

COGAT, cabang tentera Israel yang menguruskan aliran bantuan ke Gaza setakat ini belum memberikan maklum balas terhadap permintaan komen.

Sebelum ini, agensi itu menegaskan bahawa ia tidak mengehadkan kemasukan makanan, air, bekalan perubatan dan barangan perlindungan.

Israel juga menuduh Hamas mencuri bekalan bantuan kemanusiaan — tuduhan yang dinafikan oleh kumpulan militan Palestin itu.

UNICEF memulakan pusingan pertama daripada tiga fasa vaksinasi susulan pada Ahad bagi menjangkau lebih 40,000 kanak-kanak bawah umur tiga tahun yang terlepas vaksin rutin terhadap polio, campak dan radang paru-paru selepas dua tahun perang di Gaza.

Pada hari pertama kempen itu, UNICEF berjaya memberikan pelbagai vaksin kepada lebih 2,400 kanak-kanak.

“Kempen vaksinasi telah bermula, namun kami masih mempunyai dua pusingan lagi, dan untuk itu kami memerlukan lebih banyak bekalan,” kata Pires.

UNICEF turut menyatakan bahawa walaupun lebih banyak bantuan kemanusiaan kini berjaya memasuki Gaza, beberapa barangan penting masih disekat oleh pihak berkuasa Israel, termasuk 938,000 botol susu formula bayi siap guna dan alat ganti untuk lori air.

“Itu hampir satu juta botol yang sepatutnya sampai kepada kanak-kanak yang sedang menderita pelbagai tahap kekurangan zat makanan,” kata Pires dalam sidang media di Geneva.

Gencatan senjata yang diumumkan pada 10 Oktober sepatutnya membuka laluan kepada peningkatan besar kemasukan bantuan ke wilayah itu, namun agensi bantuan berulang kali menyatakan bahawa jumlah bantuan yang masuk masih jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan lebih dua juta penduduk yang kebanyakannya kini dipindahkan dan kekurangan zat makanan. – REUTERS

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Terkini: 3 Orang Terbunuh Dalam Serangan Israel Di Gaza

Next Post

Dua Trak Bantuan MyCARE Berjaya Masuk Ke Gaza Melalui Rafah

Related Posts