Israel Terus Cabuli Gencatan Senjata, 13 Termasuk 5 Kanak-Kanak Maut Di Gaza

BANDAR GAZA: Sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk lima kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel di wilayah Palestin, menurut laporan Agensi Pertahanan Awam Gaza.

Jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal, berkata empat orang, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh apabila sebuah dron menyerang khemah yang menempatkan penduduk pelarian di selatan Gaza.

Di utara Semenanjung Gaza, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun terbunuh berhampiran kem pelarian Jabalia, manakala satu serangan ke atas sebuah sekolah mengorbankan seorang lagi individu.

Di selatan pula, serangan dron berhampiran Khan Younis membunuh seorang lelaki, manakala dua lagi penduduk Gaza, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh dalam serangan lain.

Pihak tentera Israel ketika ditanya mengenai serangan itu memaklumkan mereka sedang menyemak laporan berkenaan.

Semalam, empat lagi terbunuh dalam satu serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di kawasan timur Bandar Gaza.

Bassal, berkata kerja-kerja menyelamat untuk mencari beberapa individu yang dilaporkan hilang sudah dimulakan.

“Jumlah korban meningkat kepada 13 orang akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak pagi tadi, satu pelanggaran jelas terhadap perjanjian gencatan senjata,” katanya.

Semalam, tentera Israel memaklumkan bahawa satu peluru berpandu dilancarkan dari kawasan Bandar Gaza ke arah Israel namun jatuh di dalam wilayah Gaza sendiri.

“Tidak lama selepas itu, pihak tentera melancarkan serangan tepat ke atas lokasi pelancaran,” menurut kenyataan berkenaan.

Sejak 10 Oktober tahun lalu, gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS) menghentikan sebahagian besar pertempuran antara tentera Israel dan Hamas.

Bagaimanapun kedua-dua pihak saling menuduh berlakunya pelanggaran gencatan senjata secara kerap.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, memberitahu berkata serangan di Gaza, semalam, mengesahkan pengabaian Israel terhadap komitmennya kepada gencatan senjata.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 425 rakyat Palestin di Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh pada 22 November dalam serangan Israel, menjadikannya antara hari paling berdarah di Gaza sejak gencatan senjata bermula.

Tentera Israel pula berkata tiga anggota tenteranya terbunuh dalam tempoh yang sama. – AFP

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Krisis Gaza Semakin Parah Akibat Penutupan Berterusan Sempadan Rafah

Next Post

Krisis Di Palestin Ujian Buat Kita Mengurus Keamanan Global

Related Posts