
KHAN YOUNIS: Ratusan ribu pesakit di Semenanjung Gaza kini di ambang maut selepas Israel mengeluarkan arahan mengharamkan operasi pertubuhan perubatan antarabangsa, Doktor Tanpa Sempadan (MSF), berkuat kuasa Mac ini.
Langkah itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pesakit di wilayah terkepung itu, yang bimbang mereka akan terbiar tanpa sebarang akses rawatan kritikal sekiranya pertubuhan berkenaan dipaksa menghentikan operasi.
Bulan lalu, Israel mengumumkan sekatan terhadap 37 pertubuhan bantuan, termasuk MSF, daripada beroperasi di Gaza bermula 1 Mac depan atas alasan gagal menyediakan maklumat terperinci mengenai kakitangan Palestin mereka.
Kementerian Hal Ehwal Diaspora Israel mendakwa dua pekerja MSF mempunyai kaitan dengan kumpulan pejuang Hamas dan Jihad Islam, namun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak MSF.
Keputusan terbabit dikecam masyarakat antarabangsa, yang khuatir tindakan itu bakal melumpuhkan sistem pengedaran makanan dan ubat-ubatan di Gaza yang sememangnya sudah kritikal selepas lebih dua tahun perang meletus.
Tinjauan agensi berita di Hospital Nasser di selatan Gaza mendapati kakitangan MSF masih bertungkus-lumus merawat kanak-kanak yang mengalami luka melecur, kecederaan akibat serpihan bom serta penyakit kronik.
Bagaimanapun, khidmat mereka mungkin terhenti tidak lama lagi, meninggalkan pesakit tanpa alternatif lain bagi mendapatkan rawatan.
Pegawai MSF, Claire Nicolet, menyifatkan arahan pengusiran itu sebagai tidak munasabah kerana peranan MSF di Gaza terlalu besar untuk digantikan oleh pertubuhan lain dalam tempoh singkat.
“MSF kini menyediakan sekurang-kurangnya 20 peratus katil hospital di Gaza dan mengendalikan kira-kira 20 pusat kesihatan. Sepanjang 2025 sahaja, kami telah mengendalikan lebih 800,000 konsultasi perubatan dan lebih 10,000 kelahiran.
“Hampir mustahil untuk mencari pertubuhan lain yang mampu menggantikan semua fungsi kami, termasuk menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk yang menderita akibat perang berlarutan ini,” katanya.
Sejak perang tercetus pada Oktober 2023, Israel berulang kali menuduh hospital di Gaza digunakan sebagai pusat arahan pejuang Palestin, dakwaan yang sering dijadikan alasan untuk melakukan serangan hingga menyebabkan banyak fasiliti perubatan musnah.
Dalam pada itu, pengurus logistik MSF di Hospital Nasser, Kelsie Meaden, berkata kekangan kini semakin meruncing apabila kakitangan antarabangsa dan bekalan perubatan tidak lagi dibenarkan memasuki Gaza melalui pintu sempadan.
“Buat masa ini, kami akan terus bekerja selagi mampu, namun kami sedang menuju ke arah krisis kekurangan bekalan yang amat serius,” katanya. – AFP
Sumber: Berita Harian