PBB Anggar AS$70 Bilion Kos Pembinaan Semula Gaza

11 Feb – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan serangan Israel di Semenanjung Gaza terus berlaku dalam tempoh 24 jam lalu, sekali gus meletakkan penduduk awam dalam keadaan berbahaya.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata laporan daripada Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) merekodkan serangan udara, pengeboman, bedilan artileri, tembakan tentera laut serta tembakan senjata api di beberapa kawasan Gaza.

Menurutnya, sebahagian serangan tersebut berlaku di kawasan kediaman, yang secara langsung membahayakan orang awam dan menambah penderitaan yang telah mereka tanggung selama hampir 28 bulan.

“Orang awam dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, tidak kira di mana mereka berada,” tegas Dujarric dalam sidang media PBB pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa orang awam serta infrastruktur awam mesti sentiasa dilindungi dalam sebarang operasi ketenteraan, dan semua pihak wajib mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kemudaratan terhadap penduduk awam.

Dalam masa sama, Dujarric memaklumkan rakan-rakan PBB telah menyalurkan bantuan kecemasan kepada ribuan keluarga Palestin yang dipindahkan akibat serangan berterusan Israel.

Katanya, sepanjang minggu lalu, lebih 5,600 keluarga menerima bantuan perlindungan kecemasan, termasuk hampir 5,000 kanvas perlindungan serta lebih 12,000 kelengkapan tidur.

Namun, PBB memberi amaran bahawa bantuan sementara sahaja tidak mencukupi dan penyelesaian lebih mampan amat diperlukan bagi menampung keperluan penduduk Gaza.

“Ini memerlukan kebenaran untuk membawa masuk jentera dan bahan binaan bagi membaiki infrastruktur yang rosak,” katanya sambil menggesa Israel menarik balik semua sekatan terhadap operasi kemanusiaan di Gaza.

Israel dilaporkan terus melakukan ratusan pelanggaran gencatan senjata sejak perjanjian itu dimeterai pada Oktober lalu, termasuk bedilan dan tembakan yang mengorbankan serta mencederakan ratusan orang awam Palestin.

Pelanggaran tersebut berterusan walaupun Amerika Syarikat mengumumkan pada Januari lalu bahawa fasa kedua gencatan senjata telah bermula, yang merangkumi pengunduran tambahan tentera Israel dari Gaza serta usaha pembinaan semula.

PBB menganggarkan kos pembinaan semula Gaza mencecah sekitar AS$70 bilion selepas hampir 90 peratus infrastruktur wilayah itu musnah.

Serangan Israel ke atas Gaza bermula pada 8 Oktober 2023 dan berlarutan hampir dua tahun, mengorbankan lebih 71,000 rakyat Palestin serta mencederakan lebih 171,000 yang lain.

Sumber: Tv Pertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Serangan Udara Israel Di Gaza Terus Berlaku, Angka Korban Cecah 72,032

Next Post

Hampir 3,000 Rakyat Gaza Hilang Tanpa Jasad Angkara Senjata Termal Israel

Related Posts