Tinggalkan Dunia Demi Mengejar Syahid : Falsafah Zuhud Pemimpin Yang Menggegar Dunia

Apabila kita membaca kisah para Nabi di dalam Al-Quran, kita berasa kagum terhadap mereka. Kita merasakan mereka adalah hero dan role model yang patut kita contohi.

Mereka seolah-olah seperti hero dalam filem atau dalam penulisan novel. Cuma bezanya, mereka bukan karakter rekaan, bahkan mereka adalah hero yang sebenar.

Kita pun tersentuh lalu meluahkan perasaan:
“Aku kagum dengan para Nabi. Aku mahu menjadi seperti mereka.”

Namun hakikatnya, untuk mencontohi para Nabi tidak cukup sekadar membaca sirah mereka lalu merasa tersentuh seperti kebiasaan.

Kita sebenarnya perlu berusaha untuk mencapai tahap keyakinan dan tawakkal seperti mereka, keyakinan yang menjadikan mereka sanggup mengorbankan nyawa demi agama ini.

Sekali dengar, ia kelihatan mustahil. Mereka manusia yang dipilih Allah, sedangkan kita hanyalah manusia biasa. Mana mungkin kita mampu mencapai tahap keimanan mereka?

Tetapi perkara ini sebenarnya bukan sesuatu yang mustahil, kerana kisah para Nabi di dalam Al-Quran memang ditujukan kepada kita sebagai contoh dan pedoman.

Ya, kita tidak akan sampai ke tahap keimanan yang sama seperti mereka. Iman para Nabi sentiasa bertambah, manakala iman kita ada turun dan naiknya. Namun itu bukan alasan untuk kita bermudah-mudah meninggalkan sunnah dan perjuangan para Nabi.

Jika kita melihat apa yang berlaku kepada rakyat dan para mujahidin di Gaza, kita menyaksikan pengorbanan dan keteguhan iman yang luar biasa. Seolah-olah mereka memiliki keyakinan dan tawakkal yang hampir dengan keyakinan para Nabi.

As-Syahid Ismail Haniyeh kehilangan anak-anaknya. Mereka dibunuh bukan secara tiba-tiba. Bahkan beliau telah diugut berkali-kali oleh pihak zionis bahawa sekiranya Hamas tidak menerima tuntutan tertentu, anak-anaknya akan dibunuh. Dan akhirnya, kita mengetahui kesudahannya, mereka semua syahid dibunuh oleh zionis laknatullah.

Pengorbanan jiwa dan anak-anak merupakan satu pengorbanan yang amat besar dan tidak mampu ditanggung oleh kebanyakan manusia biasa. Ia adalah pengorbanan yang sering kita baca dalam sirah para Nabi, namun hari ini ia muncul kembali dan hidup dalam diri As-Syahid Ismail Haniyeh.

As-Syahid Yahya Sinwar juga mempunyai contoh hidup daripada kisah para Nabi dalam perjalanan hidupnya.

Beliau seorang yang amat memberi perhatian kepada kisah para Nabi, sehingga pernah menulis sebuah buku sewaktu dipenjara berkenaan pendekatan forensik di dalam Al-Quran berpandukan kisah Nabi Musa عليه السلام.

Yahya Sinwar pernah mencabar pihak zionis agar melakukan apa sahaja terhadap dirinya ketika beliau berjalan di jalanan Gaza selama satu jam. Beliau berjalan dengan penuh keberanian, dan tiada sebarang serangan musuh dilakukan ke atasnya ketika itu.

Bukankah keberanian dan tawakkal ini merupakan pengulangan kisah Nabi Nuh dan Nabi Hud عليهما السلام ketika mereka mencabar kaum mereka supaya menyerang mereka beramai-ramai tanpa bertangguh setelah diugut dan diancam?

Yahya juga seorang yang sentiasa bersedia sebelum tibanya ujian yang mendatang. Beliau memilih satu bentuk ibadah yang jarang dilakukan oleh kebanyakan manusia pada hari ini, iaitu ibadah “meninggalkan”.

Ya, kebanyakan ibadah yang kita kenal ditunaikan dengan melakukan sesuatu perbuatan. Namun ada satu bentuk ibadah yang ditunaikan dengan meninggalkan sesuatu.

Yahya kerap melatih dirinya meninggalkan sebahagian kesenangan dunia. Beliau meninggalkan makanan tertentu selama satu atau dua bulan dengan tujuan melatih hatinya agar tidak terikat dengan dunia, dan supaya dunia tidak menjadi penghalang untuk beliau terus berjuang di jalan Allah.

Beliau juga rajin berpuasa, meninggalkan perkara-perkara yang harus dengan tujuan yang sama. Kita semua mengetahui bahawa ibadah puasa mampu menguatkan iman dan mendidik jiwa daripada menurut hawa nafsu.

Amalan ini menjadikan beliau seorang yang sangat warak dan amat berhati-hati dalam soal halal dan haram.

Buktinya, ketika beliau dan sahabat-sahabatnya baru pulang daripada satu misi ketenteraan, mereka pergi membeli sandwich di salah sebuah kedai di Gaza untuk berbuka puasa. Namun di dalam sandwich tersebut terdapat satu bahan yang dianggap syubhah dalam kalangan masyarakat Gaza yang bermazhab Syafie.

Ketika itu Yahya Sinwar berdiri, mengutip semua sandwich tersebut lalu membuangnya.

Beliau berkata:
“Wahai para pemuda, kamu semua tidak patut memasukkan benda yang syubhah ke dalam perut kamu.”

Jika kita melihat keadaan mereka ketika itu, mereka sebenarnya boleh sahaja mengambil rukhsah untuk berbuka puasa.

Namun Yahya seorang yang tegas dan warak, serta amat teliti dalam perkara ini. Beliau tidak mahu para mujahidin terlibat dalam perkara syubhah walaupun hanya seketul sandwich.

Ketika zaman mudanya, sebelum beliau dipenjarakan oleh tentera zionis, beliau pernah ditawarkan oleh ibunya untuk berkahwin. Namun beliau menolak kerana bimbang ia menjadi penghalang untuk beliau berjuang di jalan Allah.

Ketika beliau dipenjara, tentera zionis cuba mengugutnya melalui keluarganya.

Mereka bertanya: “Siapakah isterimu?”
Beliau menjawab dengan penuh bangga:
“Isteriku adalah HAMAS.”

Jawapan itu seolah-olah menunjukkan bahawa Yahya sudah dapat membaca nasibnya, ke mana hala tujunya dan apa yang musuh mungkin lakukan terhadap keluarganya sekiranya beliau berkahwin.

Begitulah peribadi Yahya Sinwar yang bijak, warak serta mempunyai tawakkal yang tinggi. Beliau menterjemahkan kisah-kisah para Nabi ke dalam kehidupannya dengan menyambung perjuangan mereka. Ketika beliau diuji dengan ujian yang hampir sama seperti para Nabi, beliau menjadikan mereka sebagai contoh ikutan yang terbaik.

Begitulah cara beliau menterjemahkan cinta dan keinginan untuk mencontohi para Nabi yang kisahnya disebut di dalam Al-Quran.

Persoalan yang perlu kita tanyakan kepada diri sendiri ialah: adakah kita benar-benar mahu mencontohi para Nabi?

Atau benarkah kita mencintai para Nabi?

Atau sudahkah kita menyelak helaian Al-Quran, membaca dan memahami kisah para Nabi yang mulia itu?

Di bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita sama-sama meningkatkan azam untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran serta memahami isi kandungannya.

Semoga Allah memudahkan kita untuk memahami dan beramal dengan apa yang kita baca.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

MSF Ikrar Teruskan Operasi Di Gaza Selagi Mampu Walau Dihalang Oleh Israel

Next Post

Siri 3 | Gaza Adalah Sebaik-Baik Ribat : Memahami Rahsia Kekuatan Pejuang Gaza

Related Posts