
Tanaman dibakar.
Rumah diruntuhkan.
Keluarga ditangkap, dibunuh.
Tiada makanan, tiada minuman.
Di dalam gelap terowong, membilang tasbih.
Menunggu giliran, bagi melakukan misi yang diamanahkan terhadap penjajah.
Sampai detiknya, dia lekas mengangkat senjata.
Zikir dan selawat dialunkan perlahan di bibir.
Tidak tahu, adakah akan balik semula, berjumpa komradnya di sini, adakah terselemat atau tercedera?
Atau, mengikut sahabat-sahabat yang telah pergi, ke negeri abadi?
Itulah kehidupan mereka, pejuang Gaza.
Apa rahsia mereka?
- YAQIN & SAKINAH
Para ulama menjelaskan rahsia kuatnya para pejuang di jalan Allah itu bukan bermula pada senjata atau strategi. Ia bermula pada sesuatu yang lebih halus: yaqin dan sakinah.
Sebuah keadaan ketenangan dan kebahagiaan yang Allah turunkan ke dalam hati orang yang beriman.
Bukanlah ketenangan kerana keadaan yang selamat, tetapi ketenangan ketika redha terhadap apa sahaja ketentuan Allah taala terhadap diri mereka, dan tidak lagi bergantung harap pada apa-apa zahir duniawi, keselamatan, keindahan.
Inilah ketenangan orang-orang yang sudah jelas tujuan hidupnya.
Dan dibentuk kehidupan dirinya bergerak menuju tujuan itu.
Ia tidak dibina sehari.
Ia dibina dengan tarbiah jiwa yang panjang dengan al-Quran.
Dengan mencintai Nabi sallaLlahu alaihi wasallam.
Orang lain mencari “garis tamat” agar boleh berhenti. Mereka hanya mencari “garis reda”.
Bila sakinah dicampakkan ke dalam jiwa, hati tidak menafikan sakit, tetapi ia melihat itulah kehendak Allah taala pada dirinya sebagai hamba.
Dengan itu dia tetap tenang dan bahagia.
Bahagia dengan sangkaan baiknya terhadap Tuhan.
Bahagia dengan bersama Tuhan.
Hatinya yakin bahawa wujudnya dia bersama Allah, itulah kemuliaan dan ketenangan.
Kekalnya dia menjadi hamba Allah, itulah kebahagiaan. Nikmat yang hakiki.
Apa sahaja zahir dunia tidak lagi jadi perhatian hatinya.
Ia hanya bentuk cara Allah menzahirkan perbuatanNya, kasih sayangNya, hikmahNya, kepada hambaNya, sama ada ia dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan.
Dalam apa jua keadaan, dia tetap orang sama, hamba kepadaNya.
Tiada makanan?
Tiada rumah?
Tiada kawan?
Tiada keluarga?
Semuanya dilalui.. Sehinggalah masa mereka sendiri berhadapan kematian, mereka menghadapinya dengan senyuman dan redha.
Bukan sahaja redha, bahkan mencarinya dalam bentuk yang paling mulia, iaitu mati syahid.
Jika beginilah kukuhnya hati mereka, bagaimana zionis dan dunia barat mahu hancurkan pejuang Gaza?
RAHSIA 2: HADINAH MUQAWAMAH
Syeikh Muhammad Hasan ad-Dedew menyebut salah satu rahsia secara khusus di Gaza: hāḍinah—himpunan rakyat yang menjadi pelindung kepada perjuangan.
“Ḥāḍinah al-muqāwamah” (حاضنة المقاومة) ialah istilah yang sangat penting bila kita mahu memahami bagaimana sesuatu perjuangan boleh bertahan lama, walaupun musuh memiliki senjata dan kuasa yang jauh lebih besar.
Ia bermaksud: persekitaran rakyat yang menjadi “rumah” kepada ketahanan perjuangan, yang memelihara nyawa perjuangan agar tidak terputus.
Dalam sesebuah masyarakat, tidak semua orang mampu berada di barisan hadapan. Tetapi tidak semua orang mesti berada di hadapan untuk menjadikan ribat itu hidup.
Ada yang bertahan di rumah yang separuh runtuh, mengangkat yang lemah, menyelamatkan anak-anak, mengedarkan makanan, menjaga solat, menjaga al-Quran, menjaga maruah keluarga, menenangkan ahli keluarga pejuang— itulah “hāḍinah”.
Rakyat yang tetap tinggal walau dibom—ini sendiri satu bentuk “ribat” dan satu bentuk pertahanan.
Sebab salah satu objektif utama zionis bukan sekadar membunuh, tetapi mengosongkan tanah, memutuskan kesinambungan, menjadikan manusia putus harap hingga meninggalkan tempatnya.
Maka apabila sebuah masyarakat tetap kekal, tetap berakar, mereka sebenarnya sedang menutup pintu yang ingin dibuka oleh musuh: pintu pengusiran beramai-ramai.
Di sini kita faham bahawa “kekal di rumah” dalam keadaan tertentu bukan pasif, tetapi strategik; ia menjaga hak milik, sejarah, dan masa depan.
Syeikh Muhammad mengibaratkannya seperti ayat كزرع أخرج شطئه—tanaman yang mengeluarkan tunas-tunas: tunas itu bukan sekadar hiasan.
Tunas itu menebalkan batang, menguatkan akar, menghalang angin, dan menyukarkan musuh merosakkan “buah” yang ingin dijatuhkan.
Dalam bahasa mudah: barisan hadapan tidak berdiri sendirian; ia berdiri di atas sebuah masyarakat yang menanggung pukulan bersama-sama.
Bila ḥāḍinah kuat, musuh boleh membom bangunan, tetapi mereka tidak boleh memusnahkan “roh” yang menyatukan dan melindungi perjuangan.
Akhirnya kekuatan perang bukan semata pada siapa paling kuat menyerang, tetapi pada siapa paling lama mampu tidak runtuh.
RAHSIA 3: BAITUL MAQDIS & JAMINAN MUHAMMADIAH
Hakikatnya Gaza berdiri dalam lingkaran amanah yang lebih besar—amanah bumi suci, tanah yang diberkati, sejarah para nabi, amanah maruah umat.
Bila nas al-Quran dan hadis menyebut kiblat pertama, isra’ mi‘raj, dan kemuliaan tanah itu, mereka memahami dengan jelas peranan diri mereka: “Ini bukan sekadar isu pertikaian hak. Ini adalah akidah.”
Dan dalam rantaian ayat dan hadis baginda sallaLlahu alaihi wasallam tentang bumi yang berkat ini, baginda memberikan penegasan dan sebuah jaminan kepada mereka:
لا تزال طائفة من أمتي على الدين ظاهرين، لعدوهم قاهرين، لا يضرهم من خالفهم إلا ما أصابهم من لأواء، حتى يأتيهم أمر الله. وهم كذلك”، قالوا: يا رسول الله وأين هم؟ قال: “ببيت المقدس وأكناف بيت المقدس
“
Akan sentiasa ada satu golongan daripada umatku yang tetap teguh di atas agama, menang atas musuh mereka; tidak memudaratkan mereka orang yang menyalahi atau mengkhianati mereka, kecuali apa yang menimpa mereka berupa kesusahan dan kepayahan, sehinggalah datang kepada mereka perintah Allah, dan mereka tetap dalam keadaan demikian.”
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?” Baginda menjawab: “Di Bayt al-Maqdis dan sekitar Bayt al-Maqdis.”
Inilah akidah.
Kekuatan mereka ini tidak lain tidak bukan kerana mereka sebenarnya telah pun mendapat jaminan Muhammadiyah ini:
Bahawa mereka akan menang, dan tidak ada siapa yang memboleh mengubah dan memudaratkan mereka, melainkan sedikit kepayahan dan kepenatan yang menimpa mereka, namun itu tidak akan sekali mengubah keadaan mereka yang tetap beriman dan berjuang.
Mereka berada dalam perang yang sudah dijamin kesudahannya.
Sebuah jaminan dari langit, yang disampaikan oleh penghulu jin dan manusia
Jika mereka telah mendapat jaminan sebegini..
Datangkanlah ancaman dan pakatan seluruh penduduk bumi, ia tidak mampu mengubah apa-apa aturan dan ketetapan yang telah ditetapkan dari langit ini.
Dengan kejelasan ini.. Ia menjadi sumbu utama kekuatan pejuang Gaza, dan hakikatnya inilah juga ketakutan yang sentiasa menghantui orang Yahudi.