
BANGI, 5 RAMADAN – Lebih 100 rakyat Palestin ditahan tentera haram Israel di Tebing Barat yang diduduki sejak bermulanya bulan suci Ramadan, menurut sebuah pertubuhan hak asasi Palestin, lapor Anadolu Agency.
Menurut kenyataan Palestinian Prisoner Society pada Ahad, beberapa wanita dan kanak-kanak turut termasuk dalam kalangan yang ditahan sejak Ramadan bermula pada 18 Februari di kebanyakan wilayah Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur.
Pertubuhan itu mendakwa penahanan berkenaan disertai “pukulan teruk, tindakan keganasan terancang terhadap tahanan dan keluarga mereka, selain perbuatan sabotaj serta pemusnahan meluas rumah penduduk,” termasuk rampasan kenderaan, wang tunai dan barang kemas emas.
Menurut pertubuhan hak asasi Palestin dan Israel, lebih 9,300 rakyat Palestin kini ditahan di penjara Israel, termasuk 350 kanak-kanak.
Mereka didakwa berdepan penyeksaan, kebuluran dan pengabaian perubatan yang mengakibatkan kematian puluhan tahanan.
Israel meningkatkan operasi ketenteraan di Tebing Barat yang diduduki sejak melancarkan kempen ketenteraan di Gaza pada 8 Oktober 2023.
Sejak tempoh itu, sekurang-kurangnya 1,117 rakyat Palestin terbunuh manakala kira-kira 11,500 lagi cedera dalam serangan tentera Israel dan peneroka haram di Tebing Barat.
Sumber: Tv Pertiwi