Siri 8 | Suara yang Menggetarkan Dunia : Sisi Manusiawi Di Sebalik Topeng Merah Abu Ubaidah

Siapa yang tidak pernah mendengar nama Abu Ubaidah atau nama sebenarnya Huzaifah Al-Kahlout, seolah dia tidak pernah hidup di alaf ini. Beliaulah sosok yang mampu menggerunkan Yahudi dan sekutunya hanya dengan suara dan kekuatan medianya. Beliau menjadi hero ummah yang sentiasa dinantikan kemunculannya sepanjang perang Taufan Al-Aqsa. Suaranya bak ngauman singa yang menggetarkan benteng Apartheid, menjadi penyejuk hati umat Islam yang tercari-cari sosok yang berani mencantas para pengecut dan petualang.

Namun, disebalik renungan tajam matanya dan merahnya serban lilitan dikepalanya, ada hati yang penuh dengan nurani serta kelembutan terhadap insan seluruhnya.

Huzaifah ialah seorang Muslim yang baik. Beliau seorang yang amat menitikberatkan tanggungjawabnya kepada Allah dan rasul serta menjadi contoh yang hidup kepada manusia sekelilingnya. Beliau mendidik anak-anaknya dengan didikan Islam yang sempurna. Beliau sentiasa menasihati adik-beradiknya dan berbakti kepada ibu bapanya. Beliau juga sangat menyayangi kanak-kanak, sentiasa bermanis muka dengan mereka, dan bermain dengan anak-anaknya seperti seorang ayah yang penuh kasih sayang.

Lihat sahaja bagaimana beliau memberikan perhatian yang tinggi terhadap pendidikan al-Quran anak-anaknya walaupun sibuk dengan gerakan Hamas. Anak sulungnya, Ibrahim, ialah seorang hafiz al-Quran. Begitu juga anak perempuannya, Layan. Seorang lagi anak perempuannya, Minnatullah yang berusia tujuh tahun, berjaya mengkhatamkan hafazan al-Quran ketika perang Taufan Al-Aqsa sedang berterusan.

Ibrahim membesar dengan didikan jihad dan perjuangan. Sejak kecil, beliau dididik oleh ibu bapanya bahawa Palestin ialah tanah yang telah dirampas oleh musuh dan penjajahan itu perlu ditentang. Dalam masa yang sama, beliau membesar dalam suasana al-Quran yang hidup dalam keluarganya. Di hadapan matanya sendiri, beliau menyaksikan ayahnya, Abu Ubaidah, berjaya menamatkan pengajian sarjana dalam bidang Syariah Islamiyah.

Ibrahim dididik dengan penuh perhatian sehingga membesar menjadi seorang penulis yang hebat, yang akan menyambung perjuangan ayahnya.

Sejak muda lagi, Abu Ubaidah dididik dengan asuhan yang mantap oleh ibu bapanya. Beliau menghafaz al-Quran dan himpunan 40 hadis Imam al-Nawawi sejak kecil. Beliau juga sangat terikat dengan masjidnya di Mukhayyam Jabaliya, iaitu Masjid Al-Audah Ila Allah.

Beliau mempelajari ilmu Syariah sejak kecil dan mencapai keputusan akademik yang cemerlang sehingga melayakkannya menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran. Namun, beliau memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang Syariah Islamiyah. Begitulah cara beliau memanfaatkan kecerdikan yang dianugerahkan untuk berkhidmat kepada ummah. Barangkali inilah sebab utama ucapan-ucapannya sentiasa sarat dengan penghayatan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW.

Kemudian, beliau memasuki bidang ketenteraan kerana tuntutan jihad pada waktu itu. Sudah tentu beliau tidak dapat meninggalkan jihad kerana sejak kecil beliau dibesarkan untuk mencintai al-Quran, ahlul Quran, jihad dan ahlul jihad. Beliau ialah seorang yang sangat mencintai agama dan tanah air umat Islam.

Ibu bapa Huzaifah juga manusia biasa. Jika ditanya sama ada mereka takut mengizinkan anak mereka pergi berjihad, sudah tentu ada rasa takut. Huzaifah ialah anak yang sangat disayangi. Namun apabila berbicara tentang kemerdekaan negara dan berhadapan dengan ayat-ayat al-Quran yang menyentuh soal jihad, ada kasih dan sayang yang terpaksa dikorbankan.

Huzaifah juga seorang yang mencintai kehidupan. Justeru, beliau sentiasa melakukan yang terbaik dalam setiap urusannya. Namun beliau lahir dalam keadaan negaranya dijajah oleh Zionis. Satu-satunya cara untuk menikmati kehidupan yang merdeka seperti orang lain ialah dengan menghapuskan penjajahan yang menyekat kebahagiaan mereka. Inilah tanda seseorang yang benar-benar mencintai hidup, bukan kerana nafsu, tetapi kerana ingin merasai keindahan hidup yang berjalan di atas syariat Islam.

Kecintaan Huzaifah terhadap kehidupan ini mengingatkan kita kepada kata-kata Saidina Umar al-Khattab:

“Kalaulah bukan kerana tiga perkara, nescaya aku tidak suka untuk terus hidup: menyerbu di jalan Allah dengan kuda-kuda yang tangkas, bersungguh-sungguh beribadah pada waktu malam, dan duduk bersama kaum yang memilih kata-kata yang baik sebagaimana dipilih buah kurma yang terbaik.”

Saidina Umar menjadikan cintanya terhadap dunia terikat pada tiga perkara: jihad, solat dan ilmu. Inilah juga yang dipamerkan oleh Abu Ubaidah dalam kehidupannya serta dalam kehidupan keluarganya.

Pada 29 Disember 2025, dunia dikejutkan dengan kesyahidan Huzaifah bersama seluruh ahli keluarganya kecuali anak sulungnya, Ibrahim, satu-satunya legasi Abu Ubaidah yang masih hidup dan meneruskan perjuangan ayahnya. Kesyahidannya bukan sekadar mengajar kita bahawa mati syahid itu mulia, namun kehidupannya mengajar kita bagaimana untuk hidup dengan penuh kemuliaan.

Ramai antara kita bercita-cita untuk mati syahid kerana itulah kematian yang mulia di sisi Allah. Namun, berapa ramai antara kita yang ingin hidup mulia seperti para syuhada ketika mereka masih bernyawa di dunia? Berapa ramai yang sanggup menyambung perjuangan yang sarat dengan kesusahan dan tanggungjawab ini?

Semoga bulan Ramadan yang mulia ini menjadi titik perubahan untuk kita memperbaiki kehidupan ke arah yang lebih baik.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ujian Bertali Arus Buat Penduduk Gaza Ketika Ramadan

Next Post

Misi Kemanusiaan: Flotila Baharu Mula Berlayar Ke Gaza 12 April Ini

Related Posts