
SIMPATI dan sokongan ditunjukkan masyarakat global terhadap rakyat Palestin membuktikan Palestin tidak bersendirian dalam perjuangan ini. Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Tidak mungkin masyarakat global betul-betul dapat memahami penderitaan sebenar rakyat Palestin diusir dari tanah air oleh rejim zionis Israel dan dinafikan hak serta kebebasan.
Kemusnahan dilakukan ke atas nyawa dan harta orang awam Palestin atas nama ‘hak’ mempertahankan diri, membuktikan siapa sebenarnya Israel.
Rampasan, pengusiran, kemusnahan terhadap tempat tinggal, penahanan dan penindasan rejim Israel ialah kezaliman serta penjajahan moden terang-terangan dan disokong kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan banyak negara Eropah.
Ironinya, kuasa ini juga sibuk melaungkan slogan hak asasi manusia, antidiskriminasi, penentangan terhadap rasisme dan dasar aparteid serta memperjuangkan keadilan.
Namun, apabila tindakan ini dilakukan rejim Israel ke atas rakyat Palestin, mereka seolah-olah tuli terhadap semua keganasan dan kezaliman itu.
Di sebalik penindasan dihadapi dan penderitaan dialami rakyat Palestin, antara perkara mendapat perhatian ialah keberanian luar biasa dipamerkan wanita dalam mendepani segala tindakan zalim rejim Israel.
Di Sheikh Jarrah, iaitu lokasi pengusiran dan rampasan kediaman rakyat Palestin baru-baru ini, golongan wanita menjadi antara yang lantang serta sentiasa bersedia sebagai benteng hadapan mempertahankan kediaman dan tanah sememangnya hak milik sejak sekian lamanya.
Portal akhbar dalam talian, Middle East Eye mengangkat wanita Palestin seperti Muna al-Kurd, Salwa Skafi dan Nuha Atieh sebagai lambang kecekalan wanita Sheikh Jarrah tidak akan berganjak daripada melindungi tempat tinggal mereka.
Baru-baru ini, aktivis Maryam al-Afifi yang ditahan tentera Zionis kerana mempertahankan penempatan Sheikh Jarrah turut diangkat. Mereka antara simbol keberanian dan kecekalan wanita Palestin yang harus diiktiraf dunia sebagai wirawati global menentang kejahatan, keganasan, kezaliman dan penindasan.
Wanita Palestin tidak pernah dilihat sebagai golongan lemah kerana keberanian dan kecekalan luar biasa mereka tidak mungkin dapat ditandingi mana-mana kelompok wanita lain hari ini.
Bagi rakyat Palestin, wanita mereka sentiasa berani dan bersedia untuk terbabit diri dalam sebarang gerakan penentangan terhadap Zionis.
Hakikatnya, pengorbanan dan keberanian wanita Palestin itu seperti jelmaan semangat Al-Khansa’ binti ‘Amr RA yang memberi sokongan dan semangat kepada keempat-empat puteranya hingga mereka gugur syahid di medan perang pada zaman Rasulullah SAW.Di sebalik penindasan dihadapi dan penderitaan dialami rakyat Palestin, antara perkara mendapat perhatian ialah keberanian luar biasa dipamerkan wanita dalam mendepani segala tindakan zalim rejim Israel.
Keberanian dan kecekalan luar biasa dimiliki wanita Palestin perlu dijadikan contoh serta ikutan. Mungkin pengalaman dan persekitaran dihadapi wanita di serata dunia berbeza, namun paling penting ialah semangat untuk bangkit daripada penindasan dan kemusnahan.
Begitu juga memahami apa perlu dilakukan untuk mempertahankan maruah diri, keluarga dan tanah air serta terbabit secara proaktif dalam isu diperjuangkan.
Keberanian dan kecekalan ini bukan hanya untuk dicontohi wanita lain, bahkan perlu menjadi ikutan semua individu mahupun wanita atau lelaki. Semoga Palestin tetap kukuh didokong wanitanya yang tidak gentar menghadapi kezaliman dan penindasan serta tetap di jalan memperjuangkan hak dan kebenaran.
Oleh : Pn Enizahura Abdul Aziz
Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Disiarkan pada: Mei 21, 2021
Sumber : Berita Harian
#beritahariini
Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj