
Pada tahun 1882, dunia menyaksikan satu tokoh telah lahir yang namanya akan menggegarkan dunia dan menggerunkan kuasan yang sedang memerintah dunia lebih 100 tahun yang akan datang.
Beliau ialah Muhammad Izzuddin Abd Qadir Al-Qassam, lahir di Jablah, Syria. Ya, beliau lah tokoh yang menjadi inspirasi kepada pasukan pejuang Palestin yang berani mencabar Israel dan Amerika Syarikat dalam Taufan Al-Aqsa iaitu Briged Al-Qassam.
Sejak beliau berusia 7 tahun, beliau telah hidup pada zaman kemerosotan Khilafah Uthmaniyah, terutamanya di negara-negara Arab yang telah dihasut untuk membebaskan diri daripada kepimpinan Khilafah Uthmaniyyah. Beliau merakamkan dan menganalisis peristiwa yang berlaku di hadapan mata beliau sebagai pengajaran dan beroleh manfaat dalam membentuk cara fikir dan semangat perjuangan menegakkan Islam dalam dirinya.
Pada tahun 1896, berumur 14 tahun, beliau telah membesar di Universiti Al-Azhar untuk mempelajari ilmu agama. Ketika itu telah muncul satu era baru dalam pembaharuan perjuangan agama di tangan Syeikh Muhammad Abduh, Jamaluddin Al-Afghani yang mana pada pengaruh yang sama terlahirnya Imam Hasan Al-Banna. Di sana beliau mendapat kesedaran untuk membebaskan tanah negara Islam daripada penjajahan kuasa bukan Islam.
Beliau telah pulang ke Syria pada tahun 1906 menjadi imam, khatib dan pendakwah di bumi kelahirannya. Beliau membawa bersama semangat perjuangan menentang penjajah.
Pada 1911, beliau telah mengadakan demonstrasi di hadapan masjid selepas solat Jumaat menentang penjajahan Itali ke atas Libya. Daripada situ dunia mula mengenali Syeikh Izzuddin Al-Qassam sebagai tokoh perjuangan yang baru.
1916, setelah mendegar perkhabaran bahawa Khilafah Uthmaniyah sudah muka runtuh, dan gerakan British bersama dengan tentera upahan Arab yang bersekongkol sudah mula bergerak menuju tanah-tanah Arab yang lain termasuk Syria, Syeikh Izzuddin Al-Qassam telah menjual rumah yang didudukinya untuk membeli senjata.
Ketika inilah Perjanjian Sykes-Picot dimeterai dan satu persatu negara Islam dijajah dan dirampas oleh British dan sekutunya. Ketika ini Syria telah diberikan mandat sementara kepada Perancis.
Dengan senjata yang dibeli hasil daripada jualan rumahnya dan pendukungnya dalam kalangan anak muridnya, beliau mengetuai angkatan jihad melawan penjajah dan menjadi orang buruan penjajah British dan sekutunya, Itali dan Perancis. Bayangkan seorang guru agama, dengan anak muridnya yang hanya mempunyai kekuatan senjata yang kecil berani melawan kuasa besar dunia yang baru sahaja menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah.
Dari sini mereka meletakkan satu prinsip besar yang menjadi batu asas kepada perjuangan pasukan pejuang Palestin. Prinsip itu ialah, tak penting bagi kita untuk menggapai kemenangan, tetapi yang penting kami telah mengajarkan kepada dunia ummat Islam bahawa kami tidak akan mengalah. Jihad adalah kewajipan yang mesti ditegakkan.
Kerajaan Perancis telah menjatuhkan hukuman mati kepadanya, hujuman yang dijatuhkan tanpa bicara dan tanpa kehadirannya. Dalam masa yang sama, beliau juga ditawarkan untuk menyerah diri. Ini bermakna beliau mempunyai 2 pilihan, samada melawan dan jika ditangkap atau terperangkap, akan dibunuh serta-merta, ataupun datang menyerah dan beliau akan dijatuhkan hukuman yang lebih ringan.
Ketika ini beliau memutuskan untuk melarikan diri bersama pengikutnya ke tempat lain, bersembunyi dan membina kekuatan di samping membuat persediaan yang sepatutnya.
Terdapat beberapa cubaan bunuh dan serangan ke atas kubunya. Akhirnya beliau membuat keputusan untuk memindahkan pasukannya ke Haifa, Palestin dan menerruskan perjuangannya di sana.
Ya, perjuangan menentang penjajah di Palestin dimulakan secara teratur dan berani oleh Syeikh Izzuddin Al-Qassam, seorang warganegara Syria.
Ketika ini beliau sudah menyedari bahawa kedatangan secara haram orang Yahudi dari serata dunia ke tanah Palestin sebagai satu ancaman, lebih-lebih lagi selepas beliau mendapat tahu resolusi Kongress Yahudi di Basel sejak 1896 telah memutuskan untuk menjadikan Palestin sebagai negara Yahudi.
Lalu beliau mengajak pemimpin-pemimpin Arab di Palestin untuk bermesyuarat secara rahsia di rumah-rumah mereka. Mereka cuba menyedarkan mereka semua dan menyatakan kepentingan untuk membuat persediaan senjata.
Ketika itu respon mereka agak berbeza kerana ada yang tidak faham kenapa perlu melawan tetamu yang datang daripada luar dengan layanan yang buruk. Ada juga yang setuju untuk melawan tetapi cukup sekadar ceramah dan demonstrasi kecil di masjid sahaja.
Pada 1927 beliau mengasaskan satu persatuan As-Syubban Al-Muslimun (Persatuan Belia Islam) dan menjadi ketua. Beliau telah mengajak lebih ramai pemimpin Arab untuk berbincang dan menyusun cara untuk melawan pendatang Yahudi, walaupun beliau bukanlah asalnya orang Palestin. Belia un menjadikan Masjid Istiqlal sebagai markaz dan tempat beliau menyampaikan ilmu agama dan kesedaran.
Pasukan British dan Zionis dapat menghidu gerakan yang cuba dibawa ini, lalu telah menghantar lebih ramai penguatkuasa di Haifa untuk memerhatikan Syeikh Izzuddin. Menyedari perkara tersebut, beliau telah berpindah membawa 200 orang pengikutnya berlindung di lereng-lereng bukit. Di sini beliau sudah tidak dikenali hanya sebagai guru agama semata-mata, tetapi lebih menumpukan kepada aspek persenjataan dan strategi peperangan.
Masa berlalu dalam kurang daripada setahun, beliau telah berjaya merekrut sehingga 800 orang ahli pasukan jihadnya.
Pada satu malam, 20 November 1935, beliau membuat satu perutusan kepada semua pengikutnya bahawa beliau sudah bersedia untuk menghadapi tentera Zionis-British. Satu pesanan beliau kepada pengikut-pengikutnya, “kita jumpa di syurga nanti”.
Pada malam itu mereka bergerak melakukan operasi menentang penjajah di Jenin, lalu gugurlah syahid seorang pejuang Muhammad Izzuddin Al-Qassam. Walaupun roh beliau sudah diangkat ke langit sejak 91 tahun yang lalu, tetapi nama beliau masih menggerunkan pihak musuh sehingga ke hari ini.