Siri 13 | Ayah, Hangatkanlah Anak-Anakku: Kisah Benar Seorang Syahid Menjaga Keluarganya Dari Alam Barzakh

Karamat Ahli Gaza yang Mulia: Tahukah Kamu Apa Karamat Mereka?

Kisah ini diceritakan kepadaku oleh seorang lelaki tua…

Katanya:

“Aku duduk cuba menyalakan api agar cucu-cucuku yang yatim dapat memanaskan badan. Namun, hujan turun dengan lebatnya sehingga kayu api menjadi basah kuyup dan tidak lagi mampu menyala. Di hadapanku, anak-anak kecil itu menggigil kesejukan yang amat sangat. Di tanganku pula, hanya ada beberapa batang mancis dan baju yang sedang dipakai.

Jujur aku katakan, aku terfikir untuk menanggalkan baju sejukku dan membakarnya, agar mereka dapat menumpang hangat apinya. Namun, hanya itulah satu-satunya pakaian yang aku miliki. Aku memandang isteriku yang sudah tua, dia juga menggigil, bibirnya membiru. Aku selubungkan dia dan anak-anak kecil itu dengan selimut usang yang ada, tetapi cengkaman sejuk itu jauh lebih kuat daripada segalanya.

Ketika itu, aku pun berwuduk dengan air hujan. Aku bangun dirikan solat sunat hajat dua rakaat. Aku tadahkan tangan ke langit, merayu kepada Allah agar menghentikan hujan dan sejuk ini, serta mengurniakan kami kehangatan dari jalan yang tidak disangka-sangka.”

Lelaki tua itu menyambung lagi:

“Demi Allah, tidak sampai setengah jam aku menunggu, tiba-tiba sebuah kereta berhenti tepat di hadapan pintu khemahku. Lalu seorang pemuda turun sambil menjinjing tiga helai selimut bulu yang tebal, seikat roti, sedikit makanan, dan seberkas kayu api.

Dia memanggil namaku, aku pun tidak tahu bagaimana dia mengenaliku. Aku keluar, lalu dia menyerahkan segalanya kepadaku sambil berkata:

‘Wahai pakcik, pakcik telah mengejut saya dari tidur. Semoga Allah mengampuni pakcik.’

Aku bertanya dalam kehairanan:

‘Bagaimana pula aku mengejutkanmu? Demi Allah, aku tidak pernah meninggalkan khemah ini.’

Pemuda itu menjawab:

‘Tadi, aku terdengar satu suara memanggil namaku: “Bangunlah wahai Mahmoud… anak-anakku hampir mati, pergilah bantu mereka!” Sejurus aku membuka mata, aku melihat seorang pemuda berdiri di hadapanku.’

Aku bertanya kepadanya: ‘Siapa kamu?’
Dia menjawab: ‘Aku Fadhl… tolong pergi kepada bapaku, panaskanlah anak-anak dan ibuku.’

Aku berkata kepadanya: ‘Bawalah aku kepada mereka.’

Dia menemaniku di dalam kereta, duduk di sebelahku sehinggalah kami sampai ke khemahmu ini. Namun bila aku menoleh ke sebelah, dia sudah tiada. Aku tidak tahu ke mana dia pergi. Aku rasa, pakcik pasti punya ‘perjanjian’ yang istimewa dengannya sehingga dia tidak mahu pakcik melihatnya.”

Lelaki tua itu menangis teresak-esak sehingga jatuh terduduk di atas lututnya.

Dia memandangku dan berkata:

“Anakku Fadhl telah syahid sejak dua tahun yang lalu.”

Dia menyambung ceritanya:

“Pemuda tadi turut jatuh melutut di hadapanku sambil menangis. Dia berkata: ‘Demi Allah wahai pakcik, dia benar-benar bersamaku tadi, mungkinkah dia malaikat yang menyerupai anakmu untuk membawaku kepadamu?’

Aku mengeluarkan gambar Fadhal dari saku dan menunjukkannya kepada pemuda itu. Sebaik sahaja melihatnya, dia tersungkur menangis dan bersumpah bahawa itulah orangnya. Dia mencium kepalaku dan berkata: ‘Maafkan saya pakcik, sepatutnya kami yang datang menjengukmu, tetapi dunia telah melalaikan kami.'”

Kemudian dia menunduk sambil mengulang-ulang firman Allah yang Maha Agung:

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahawa mereka itu) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya.” (Al-Baqarah: 154)

Pemuda itu kemudian bersumpah kepadaku, bahawa abang iparnya juga seorang syahid. Sejak hari syahidnya, seekor burung putih akan datang hinggap di jendela rumah kakaknya, dan tidak akan pergi melainkan setelah kakaknya tidur. Ada yang memberitahu bahawa itu adalah roh suaminya, tetapi pada mulanya mereka tidak percaya…

“Namun hari ini, aku percaya wahai pakcik… aku percaya bahawa mereka itu benar-benar hidup, tetapi kita sahaja yang tidak menyedari kehadiran mereka.”

Cerita ini diceritakan oleh Dr nasreen manour

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Siri 12 | Penyala Obor Perjuangan: Syeikh Izzudin Al-Qassam: Ulama Azhar yang Menjadi Akar Perjuangan

Next Post

Israel Tutup Semua Sempadan Gaza dan Sekat Bantuan PBB Susulan Perang AS – Iran

Related Posts