
Apa hukum mimpi dalam Islam?
Boleh jadi hujah dan dalil ke?
Tidak, mimpi tak boleh jadi dalil hukum.
Tetapi ia tetap ada kedudukannya, walaupun terbatas.
Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلَاثٌ مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنْ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ”
“Sesungguhnya mimpi itu ada tiga jenis, antaranya mimpi-mimpi buruk yang menakutkan yang datang dari syaitan untuk membuat sedih anak Adam.
Antaranya pula perkara yang difikirkan seseorang ketika terjaga kemudian terbawa ke dalam mimpinya.
Dan antaranya pula adalah satu bahagian dari empat puluh enam bahagian kenabian.” (Sunan Ibnu Majah)
Dan di dalam hadis yang lain diriwayatkan:
الرُّؤْيَا ثَلَاثٌ فَبُشْرَى مِنْ اللَّهِ وَحَدِيثُ النَّفْسِ وَتَخْوِيفٌ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا تُعْجِبُهُ فَلْيَقُصَّ إِنْ شَاءَ وَإِنْ رَأَى شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلَا يَقُصَّهُ عَلَى أَحَدٍ وَلْيَقُمْ يُصَلِّي
“Mimpi ada tiga jenis, iaitu: khabar gembira dari Allah, dan (mimpi yang di sebabkan) dari kondisi jiwa, dan (mimpi) takut yang di timbulkan oleh syaitan untuk menakut-nakutkan.
Jika salah seorang dari kalian bermimpi dengan mimpi yang menyenangkan dirinya, maka hendaklah dia menceritakannya, jika dia mahu. Dan jika dia bermimpi tentang sesuatu yang dibencinya, maka hendaknya ia tidak menceritakan kepada siapapun, dan hendaklah dia segera bangkit untuk mengerjakan shalat.”
(Sunan Ibnu Majah)
Daripada sini ulama menjelaskan bahawa mimpi itu ada 3, dan salah satunya dipanggil “Ru’ya Salihah” iaitu mimpi yang baik/benar, atau “Busyra” iaitu khabar gembira daripada Allah taala.
Ia datang untuk menenangkan, menguatkan, atau memberi petunjuk kepada seseorang.
Setahun yang lalu, pada bulan febuari 2025, semasa perang Palestin-Israel, seorang mujahidin menceritakan pengalaman uniknya.
Di dalam satu kumpulan yang diarahkan untuk menghalang dan menguruskan sebuah unit penjajah yang menceroboh sebuah kawasan di Gaza.
Mereka pun bergerak melalui terowong bawah tanah, terus ke kawasan yang diceroboh.
Malam yang ditugaskan, mereka keluar dari terowong dan lancarkan serangan terhadap unit penjajah itu.
Serangan itu berjaya menghancurkan dan mematahkan unit penjajah tersebut dengan jayanya.
Namun ketika mereka bergegas kembali ke terowong, sebuah dron musuh berjaya menjejaki mereka.
Dalam masa yang singkat, pesawat perang datang dan mengebom kawasan tersebut dengan banyak seperti hujan.
Salah satu bom jatuh tepat ke pintu terowong mereka, dan meruntuhkan sehingga 85% mata terowong!
Mereka terperangkap dalam terowong sempit itu, tanpa cahaya.
Udara tercemar dengan bau barut (serbuk letupan) yang sangat kuat.
Bekalan makanan dan air pula sangat terhad.
Hubungan antara kumpulan ini dengan bilik operasi terputus.
Tiada jawapan.
Di atas, rakan-rakan telah anggap mereka semua syahid.
Memang patut pun sangka macam tu, kerana serangan bom itu memang dahsyat.
Mereka mula mencatu bekalan makanan dan membuat usaha untuk keluar.
Sehari berlalu, tiada perubahan. Masih gelap, tidak boleh bergerak, dan udara semakin sesak.
Hari kedua, tiada perubahan, dan keadaan semakin teruk.
Selepas tiga hari terperangkap dalam kegelapan, mereka teringat hadis Nabi SAW tentang tiga lelaki yang terperangkap dalam gua, yang mana akhirnya terselamat selepas mereka berdoa dengan bertawassul dengan amalan-amalan soleh mereka.
Maka mereka pun berpakat untuk ikhtiar mencontohi teladan hadis baginda Nabi sallaLlahu alaihi wasallam.
Setiap pejuang dalam terowong itu mula berdoa dengan menyebut satu amalan yang mereka lakukan dengan penuh ikhlas hanya kerana Allah.
Selepas 3 hari, walaupun rakan-rakan di atas semua mengatakan mereka telah syahid, seorang komander mengarahkan untuk para mujahidin pergi ke terowong itu dan gali semula runtuhan.
Lalu beberapa komrad pun meggali runtuhan itu sehingga terbuka pintu terowong, dan dapati semua masih selamat!
Tenat, namun hidup!
Allahuakbar!
Perjumpaan disambut dengan takbir dan tahmid.
Apa sebenarnya yang terjadi? Bagaimana komander itu yakin walaupun semua rakan-rakan yakin mereka tak selamat?
Beliau bertegas untuk menggali semula runtuhan itu sebenarnya sebab mendapat mimpi selama tiga malam berturut-turut!
Setiap malam, salah seorang daripada pejuang yang terperangkap muncul dalam mimpinya dan berkata, “Datanglah selamatkan kami, kami masih hidup”.
Mimpi yang sama, berulang, jelas, teratur, dan seperti mengetuk hatinya supaya tidak menutup kisah ini dengan sangkaan semata-mata.
Itulah yang meyakinkan tekadnya.
Lalu dia memilih untuk bertindak: menggali, mencari, menyelamatkan.
MasyaAllah..
Itulah contoh mimpi yang benar!
Yang berlaku di medan Jihad.
Untuk membantu dan menerangi langkah para mujahidin, yang akhirnya menyelamatkan nyawa rakan-rakan mujahidin yang tidak ternilai.
Begitulah dia kisahkan, bagaimana Allah memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dengan cara yang Dia kehendaki, untuk menggerakkan ikhtiar yang benar.
Kisah ini juga kembali mengingatkan kita kepada satu bekal yang halus, tetapi sangat bernilai: iaitu amalan-amalan rahsia dan berpegang dengan pedoman hadis Nabi sallaLlahu alaihi wasallam.
Di bawah tanah, terperangkap, mereka “mengetuk pintu” dengan amal ikhlas yang tersembunyi.
Di atas tanah, Allah taala menggerakkan langkah hamba-hambaNya dengan ketukan rohani iaitu mimpi yang jelas dan berkali-kali.
Lalu lahirlah pertolongan yang luar biasa.
Adakah kita ada amalan soleh yang kita rahsiakan, yang hanya diketahui oleh Allah sahaja?
Sediakanlah wahai sahabat!
Semoga ia menjadi bekalan untuk kita, sama ada di dunia, atau di akhirat..!