Siri 10 | Mohammed Deif: “Tetamu” Misteri yang Menjadi Mimpi Buruk Penjajah

Muhammad bin Diyab Ibrahim, atau gelaran masyhurnya Muhammad Dheif merupakan Komander Tertinggi Briged Izzuddin Al-Qassam semenjak tahun 2002 sehingga tahun 2025.

Ramai mengenali dan menyebut-nyebut nama beliau namun tahukah anda mengapa beliau digelar “Dheif” atau “tetamu”? Mengapa ‘tetamu’ ini menjadi igauan dan mimpi buruk pada penyembah dajjal di bumi yang diberkati ini? Mari kita soroti kisah beliau.

Pada tahun 1989 beliau ditangkap oleh zionis dan dipenjarakan selama 16 bulan atas alasan menyertai HAMAS. Ketika di dalam penjara beliau bertemu dengan As-Syahid Solah Syahadah & Zakariya Shurbaji, mereka bertiga berpakat untuk melancarkan operasi penculikan tentera zionis dan menggunakan tebusan tersebut untuk proses tawar-menawar dengan pihak zionis. Semenjak operasi itulah, berkembangnya operasi-operasi yang lain dan tertubuhnya sayap ketenteraan HAMAS, Briged Izzuddin Al-Qassam.

Muhammad Dheif adalah antara pengasas dan generasi awal Briged Al-Qassam, bahkan beliau merupakan salah seorang pimpinan utama Briged Al-Qassam semenjak tarikh ditubuhkan sehingga beliau syahid.

Ketika itu Briged Al-Qassam mempunyai cawangan di Tebing Barat yang dipimpin oleh Imad ‘Aql, namun beliau syahid dibunuh zionis dalam satu serangan. Maka dengan serta-merta Muhammad Dheif dipindahkan dari Gaza ke Tebing barat untuk mengetuai Briged Al-Qassam di sana. Beliau berjaya menembusi pelbagai bentuk serang hendap, pintu keselamatan dan sekatan-sekatan zionis dan akhirnya sampai di Tebing Barat.

Gelaran “Dheif” yang bermaksud tetamu berasal dari perpindahannya ini, kerana keberadaan beliau di Tebing Barat seolah-olah cuma sebagai tetamu dan tempohnya sementara untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan, kemudian beliau pulang ke Gaza semula.

Ada juga yang mengatakan gelaran tersebut diberi kerana kehidupan beliau yang berpindah randah semenjak menjadi sasaran zionis pada tahun 1998, beliau tidak akan tinggal di satu tempat dalam tempoh yang lama kerana beliau akan dijejaki pihak musuh.

7 siri serangan dan percubaan bunuh Muhammad Dheif

Pada tahun 1998 tersebut, zionis menyedari akan bahayanya sosok tubuh yang bernama Muhammad ini, lalu melancarkan serangan ke atasnya ketika beliau cuba lari ke Mesir, namun serangan itu tidak mengenai Sasaran dan beliau sempat melintasi sempadan Gaza-Mesir.

Pada tahun 2001 berlaku percubaan membunuh beliau untuk kali kedua, pihak zionis melancarkan serangan namun mereka cuma berjaya mengebom bangunan kosong kerana beliau sempat melarikan diri.

Pada tahun 2002, Syeikh Solah Syahadah syahid dibunuh dalam satu serangan. Semenjak itulah Muhammad Dheif menggalas tanggungjawab sebagai Komander Tertinggi Briged Izzuddin Al-Qassam sehinggalah beliau syahid.

Pada tahun yang sama juga beliau berjaya diserang oleh pihak zionis menggunakan Helikopter Apache, 2 buah roket dilancarkan. Namun beliau yang duduk di bahagian belakang sempat keluar sebelum kereta tersebut dihentam roket kedua.

Percubaan bunuh kali ketiga dilancarkan pada tahun 2003, ketika beliau dan seorang pimpinan Al-Qassam, Adnan Al-Ghoul berada di sebuah rumah di Gaza. Rumah tersebut dibom namun beberapa minit sebelum serangan dilakukan mereka telahpun melarikan diri terlebih dahulu.

Percubaan bunuh kali keempat dilakukan pada tahun 2006, menggunakan Jet Pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat. Rumah yang sedang beliau duduki dibom namun beliau tidak syahid kerana ketika itu beliau berada di sudut rumah yang tidak terkena serangan langsung dari jet pejuang tersebut.

Pada tahun 2014, Muhammad Dheif muncul semula dan mengetuai perang yang diberi nama Asful Ma’kul. Ketika perang berlangsung, pihak zionis cuba membunuh beliau untuk kali kelima, namun beliau tetap terselamat. Mereka cuma berjaya menyerang isteri dan 2 orang anak beliau dan mereka syahid dalam serangan tersebut.

Pada tahun 2021, ketika serangan zionis ke atas perkampungan Syeikh Jarrah dilakukan, beliau muncul semula sambil mengancam zionis untuk berundur dari Kawasan tersebut. Dan tercetusnya perang Saiful Quds di mana zionis menyerang Gaza dengan bertan-tan bom. Dalam serangan itu terdapat 2 serangan khusus yang disasarkan terhadap beliau, namun kedua-duanya gagal.

Taufan Al-Aqsa; 1 pergi, 1000 menanti

Tanggal 7 Oktober 2023, Muhammad Dheif muncul lagi dan melancarkan pula Operasi Taufan Al-Aqsa. Ketika itu pihak zionis sangat terdesak sehingga mereka menyebarkan ‘brochure’ iklan tawaran bagi sesiapa yang berjaya memberi apa-apa maklumat berkenaan beberapa orang pimpinan HAMAS, dan setiap maklumat berkenaan Muhammad Dheif dijanjikan wang bernilai 100,000 Shekel.

Ketika tentera zionis masuk ke dalam Gaza, mereka terjumpa sebuah laptop yang di dalamnya ada video Muhammad Dheif sedang bersantai di bawah pohon sambil menghirup teh panas. Di dalam video tersebut, beliau kelihatan sihat anggota tubuh badan, tiada sebarang anggota badan beliau yang hilang sepertimana dilaporkan oleh pihak zionis dalam siri-siri serangan mereka ke atasnya.

Ini merupakan satu tamparan hebat kepada pihak zionis yang mengaku mempunyai agensi perisikan terhebat dunia, kerana seorang lelaki yang diburu selama 26 tahun ini masih sihat tanpa sebarang kecacatan.

Walaupun pada akhirnya pihak zionis berjaya membunuh beliau dan beberapa pimpinan HAMAS yang lain seperti Yahya Sinwar, Ismail Haniyyah dan lain-lain, mereka tetap tidak mampu menghentikan badai perjuangan yang sedang mengalir deras dalam jiwa rakyat Gaza.

Sebelum ini mereka pernah membunuh Syeikh Ahmad Yassin, Dr Abdul Azizi Ar-Rantisi, Ahmad Al-Ja’bari, Adnan Al-Ghoul dan lain-lain, namun adakah kematian mereka ini semua mampu menghentikan perjuangan menentang zionis laknatullah?

Jawapannya tidak, kerana pejuang-pejuang di sana sentiasa mempunyai lapisan-lapisan pengganti bagi mereka yang sudah syahid. Bunuhlah berapa ramai pun pimpinan HAMAS atau Briged Al-Qassam, mereka tetap ada pengganti kerana bumi Al-Quds dan sekitarnya itulah bumi yang disebut oleh Rasulullah SAW bahawa akan sentiasa ada sekelompok orang beriman yang tegas menghadapi musuh mereka sehinggalah tercapainya kemenangan.

Ramadhan bulan perjuangan, bukan bulan merehatkan diri dan bermalas-malasan. Marilah kita sama-sama mengambil semangat perjuangan dari mereka yang telah syahid menghadap Ilahi.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Siri 9 | Karamah Ashabul Kahfi Gaza : Rahsia Mimpi yang Menyelematkan Nyawa Di Bawah Runtuhan

Next Post

Siri 11 | The Mastermind : Akal Briged yang Bergerak Di Sebalik Bayangan

Related Posts