
GAZA, 11 Mac – Sekurang-kurangnya seorang rakyat Palestin terbunuh, manakala lima lagi cedera dalam serangan udara rejim Israel yang menyasarkan sebuah gerai pasar di barat Gaza, pada Rabu.
Menurut sumber perubatan dan saksi, dron Israel melepaskan peluru berpandu yang mengenai gerai yang menjual barangan rumah.
Mangsa yang cedera dan maut dibawa ke Hospital Al-Shifa untuk rawatan.
Sumber Palestin berkata sejak gencatan senjata berkuat kuasa, insiden tembakan dan serangan oleh Zionis telah mengorbankan lebih 640 rakyat Palestin serta mencederakan lebih 1,700 yang lain.
Perjanjian gencatan senjata itu dicapai selepas konflik yang tercetus pada Oktober 2023 antara Israel dan kumpulan Palestin di Gaza.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos pembinaan semula wilayah itu mencecah kira-kira AS$70 bilion selepas kemusnahan besar terhadap infrastruktur awam. – Reuters
Sumber: Berita RTM