Siri 22 | Menakluk Dunia Selepas Menakluk Selimut: Kisah Jiwa Pejuang yang Terbina Sebelum Munculnya Seruan Perang

Kita sering melihat klip-klip video bagaimana hebatnya tentera Al-Qassam menyerang musuh-musuhnya, serangan yang tepat, terancang dan tangkas. Sehingga ramai dikalangan kita menjadikan mereka sebagai idola dan superhero yang real di zaman kita ini.

Kalau ada dikalangan kita yang kagum dengan mereka dari sudut ketenteraan, ketahuilah bahawa kehebatan yang terzahir di mata kita itu adalah kesan daripada mujahadah mereka melawan nafsu untuk bangun pada waktu malam demi merintih dan meraih kekuatan dari Allah SWT.

Kekuatan fizikal yang kita lihat itu adalah kesan dari proses penyucian hati yang mereka lalui ketika melaksanakan qiyamullail. Kerana itu kita lihat dalam sirah Rasulullah SAW, Baginda dan para sahabat diwajibkan untuk melakukan qiyamullail 12 tahun sebelum turunnya kefardhuan jihad.

Proses ini tidak lain tidak bukan bertujuan membentuk satu barisan tentera Islam yang ikhlas berjuang di jalan Allah SWT tanpa terikat dengan kepentingan duniawi. Jika beginilah keadaan tentera Islam, maka tiada yang akan menghalang dari turunnya bantuan Allah SWT kepada mereka.

As-Syahid Muhammad Zaki Hamad, seorang alim dan mujahid di Gaza ada menulis di dalam buku karangannya yang bertajuk “Di Bawah Panji Taufan” berkenaan bagaimana beliau dan para mujahidin di sana mementingkan amalan qiyamullail ini.

“Aku sentiasa menjaga diriku agar tidak terlepas dari melakukan Qiyamullail sekurang-kurangnya 2 rakaat, dan pernah suatu hari aku menghabiskan hari dengan perang dan aku merasa sangat letih sehingga tidak mampu melakukan Qiyamullail, dan nafsu aku berkata ketika itu : “Engkau dalam keadaan letih, hari ini engkau telah berjihad di jalan Allah, sedangkan qiyamullail ini untuk orang yang tidak berjihad”.

Beliau menyambung lagi : “Sekiranya aku meninggalkan qiyamullail, aku akan merasa berat, berat pada jasad dan badanku. Sesungguhnya qiyamullail itu benar-benar boleh memperbaiki dunia dan akhirat”.

Amalan qiyamullail ini merupakan satu amalan yang sangat penting bagi para mujahidin di sana pada bulan-bulan biasa. Adapun di dalam bulan Ramadhan, amalan mereka semakin berganda.

As-Syahid Muhammad Zaki menceritakan lagi : “Adapun qiyamullail di dalam bulan Ramadhan, kami akan menunaikan solat Isyak dan solat Taraweh di dalam surau kami, kemudian kami akan berehat sebentar. Pada jam 12 malam kami akan bangun untuk melakukan solat malam, dan kami sengaja memasang pembesar suara di kawasan tersebut supaya lantunan Al-Quran akan kedengaran dari jauh dan supaya manusia berasa aman”.

Inilah rahsia kehebatan para mujahidin di sana, satu amalan yang dilaksanakan tanpa mendapat perhatian syarikat-syarikat media dan wartawan, tetapi sudah tentu mendapat perhatian dari penduduk langit. Amalan yang membuktikan kehebatan mereka dalam melawan nafsu dan kehendak duniawi, yang menjadikan mereka dikurniakan kekuatan luar baisa untuk berjuang di jalan Allah pada siang hari.

Kata beliau lagi : “Jihad berserta qiyamullail akan mampu menghasilkan seorang hamba yang bertaraf tinggi…Sesungguhnya hati yang tidak dididik dengan susahnya qiyamullail tidak akan mampu menanggung beban jihad yang panjang dan susah jalannya”.

Beliau juga ada menyusun beberapa perkara yang menjadikan qiyamullail ini begitu penting dalam kehidupan kita.

Pertama, orang yang melaksanakan qiyamullail adalah orang yang mengikut sunnah Nabi SAW.

Kedua, amalan ini mampu membersihkan jiwa kerana qiyamullail adalah tanda kita merendahkan diri dihadapan Allah SWT.

Ketiga, dengan mendirikan qiyamullail seorang hamba akan dapat mengukuhkan prinsip-prinsip mujahadah seperti melawan kehendak nafsu dan mengawal diri dalam perkara-perkara yang harus.

Keempat, qiyamullail juga mampu mengukuhkan tiang-tiang penyucian diri di dalam diri hamba seperti memohon pertolongan dari Allah, berzikir, solat, bertafakkur dan mendekati diri dengan Al-Quran.

Qiyamullail dan tahajjud adalah amalan paling agung yang boleh mendidik diri seorang hamba Allah SWT, dan mampu menyampaikannya kepada keududkan yang tinggi. Firman Allah SWT :

“Dan pada sebahagian malam, bertahajjudlah kamu sebagai ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu membangkitkanmu ke tempat yang terpuji.”
(Surah Al-Isra’: 79)

Dengan amalan inilah Nabi & para sahabat dididik lalu terbinalah satu generasi yang unik dalam keadaan manusia lain sedang nyenyak tidur. Generasi inilah yang kemudiannya menyebarkan Islam ke serata dunia, mencipta sejarah demi sejarah sehingga akhirnya Islam berjaya memimpin dunia.

Antara pesanan para ulamak, seperti Imam Ahmad, Ibnu Qudamah Al-Maqdisi dan lain-lain : “Hendaklah seseorang itu mempunyai bilangan rakaat tertentu yang dilakukan secara konsisten, sekiranya dia rajin maka panjangkanlah solatnya, sekiranya berasa malas maka ringankanlah solatnya, dan sekiranya dia terlepas dari melakukannya maka hendaklah dia menggantikannya pada waktu yang lain.”

Semoga bulan Ramadhan yang merupakan bulan Al-Quran dan bulan Qiyamullail ini dapat mendidik diri kita untuk mujahadah melawan hawa nafsu dan memberikan kita kekuatan dalam segara urusan kita di siang hari insyaAllah.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Wanita Gaza Galas Tanggungjawab Keluarga Di Tengah Krisis Kemanusiaan

Next Post

Serangan Udara Rejim Israel Di Barat Gaza Ragut Satu Nyawa, Lima Cedera

Related Posts