Krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing apabila sekatan Israel berterusan menghalang kemasukan bantuan, manakala khemah pelarian terus terdedah kepada hujan lebat dan angin kencang. Menteri Luar Britain, Itali, Australia dan Kanada dalam kenyataan bersama pada Ahad (15 Nov) lepas mendesak Israel membenarkan akses tanpa halangan untuk organisasi kemanusiaan, sambil memberi amaran bahawa kira-kira 150,000 khemah dan bekalan penting masih terkandas di sempadan Gaza.
Gelombang hujan sejak hujung minggu lalu telah menenggelamkan puluhan ribu khemah, dengan lima rakyat Palestin syahid termasuk tiga kanak-kanak akibat kesan cuaca, manakala kira-kira 90% infrastruktur awam musnah menjadikan kawasan pelarian mudah dilanda banjir. Dalam perkembangan berasingan, Pejabat Media Kerajaan Gaza melaporkan Israel menyasarkan sebuah pusat awam yang menyelaras pergerakan trak barangan pada Ahad, menyebabkan beberapa kakitangan Kementerian Ekonomi syahid, dan mengutuknya sebagai pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Desakan antarabangsa turut diperkuat oleh Kesatuan Eropah yang menuntut pembukaan semula semua lintasan sempadan, serta gesaan bersama 53 negara dan organisasi sebelum ini. Data turut mendedahkan hanya 77,657 trak bantuan dibenarkan masuk sejak gencatan senjata 10 Oktober 2025, iaitu kira-kira 33.3% daripada 232,800 trak yang sepatutnya, sedangkan hampir 1.6 juta daripada lebih dua juta penduduk Gaza bergantung sepenuhnya kepada bantuan.