
NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) semalam sekali lagi menggunakan kuasa vetonya bagi menggagalkan gesaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya gencatan senjata dilaksanakan di Gaza.
Tindakan antara badan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sekali gus melindungi sekutunya Israel daripada tekanan diplomatik global supaya menghentikan perang di Gaza.
Semua 14 anggota lain UNSC menyokong resolusi yang dibentangkan pada Ogos lalu, susulan pengisytiharan rasmi PBB mengenai kebuluran selepas hampir dua tahun perang Israel terhadap Hamas di wilayah Palestin itu.
Ketika undian dibuat, kereta kebal dan jet pejuang Israel terus mengebom bandar Gaza, yang menjadi sasaran serangan darat besar-besaran, memaksa penduduk Palestin melarikan diri ke selatan.
Teks resolusi yang diperoleh AFP menggesa ‘gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza yang dipatuhi semua pihak’ serta pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan.
Bagaimanapun, AS berulang kali menolak gesaan itu termasuk pada Jun lalu apabila ia menggunakan veto bagi menyokong Israel.
Veto terdahulu oleh AS mencetuskan kemarahan luar biasa daripada 14 anggota lain Majlis itu yang semakin lantang menyuarakan kekecewaan berhubung kegagalan mereka memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan penderitaan rakyat Gaza.
Buat pertama kali pada Selasa lalu, suruhanjaya penyiasatan antarabangsa yang diberi mandat PBB mengeluarkan analisis bebasnya, menuduh Israel melakukan ‘genosid’ di Gaza sejak Oktober 2023 dengan niat untuk ‘memusnahkan’ rakyat Palestin.
Isu itu dijangka menjadi tumpuan utama sidang kemuncak tahunan PBB minggu depan di New York.
Duta Israel ke PBB, Danny Danon mengecam resolusi berkenaan sambil berkata: “Bagi sebahagian anggota majlis, ini sekadar sandiwara. Tetapi bagi Israel, ini hakikat harian.
“Usul ini dikemukakan tanpa kecaman terhadap Hamas, tanpa kecaman terhadap pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober,” katanya.
Danon turut beberapa kali bertikam lidah dengan Duta Algeria, Amar Bendjama yang meminta rakyat Palestin ‘memaafkan kami kerana Majlis ini gagal menyelamatkan anak-anak anda… usaha ikhlas kami hancur di tembok penolakan’. – AFP
Sumber: Berita Harian