Ekonomi Gaza Merudum 87%, Kos Pemulihan Dianggarkan RM289 Bilion

GENEVA: Ekonomi Semenanjung Gaza dilaporkan merudum sebanyak 87 peratus sepanjang 2023-204, sekali gus menghapuskan kemajuan pembangunan yang dicapai selama berdekad-dekad, menurut laporan terbaru Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).

Laporan itu berkata, usaha membangunkan semula kemusnahan akibat perang Hamas dan Israel memerlukan kos lebih AS$70 bilion (RM289 bilion).

Laporan itu juga menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Palestin pada akhir tahun lalu kembali ke paras 2003, pada paras AS$161 (kira-kira RM755) — antara yang terendah di peringkat global, sekali gus menghapuskan 22 tahun kemajuan pembangunan KDNK per kapitanya.

Operasi ketenteraan dan sekatan ekonomi yang berpanjangan mencetuskan keruntuhan ekonomi Palestin yang belum pernah berlaku sebelum ini, sekali gus terjerumus dalam ‘jurang buatan manusia’, menghapuskan kemajuan pembangunan yang dicapai selama berdekad-dekad.

“Kerosakan meluas terhadap infrastruktur, aset produktif dan perkhidmatan awam membalikkan kemajuan sosioekonomi berdekad-dekad di yilayah Palestin yang diduduki,” kata laporan itu.

Kos pembangunan semula wilayah itu berkemungkinan mengambil masa beberapa dekad dan krisis ekonomi yang dialami Gaza adalah antara 10 krisis terburuk di dunia sejak tahun 1960.

Justeru, UNCTAD menggesa satu pelan pemulihan komprehensif yang menggabungkan bantuan antarabangsa secara tersusun, pemulihan pemindahan fiskal, serta langkah bagi mengurangkan kekangan terhadap perdagangan, pergerakan dan pelaburan.

Agensi PBB itu turut mencadangkan pelaksanaan pendapatan asas kecemasan sejagat yang memberikan setiap penduduk pemindahan tunai bulanan tanpa syarat dan boleh diperbaharui, berikutan seluruh penduduk Gaza berdepan kemiskinan melampau pelbagai dimensi,

Skala kemusnahan di Gaza selepas perang dua tahun antara Israel dan Hamas itu juga bermakna wilayah berkenaan akan bergantung pada sokongan antarabangsa yang besar dan proses pemulihan dijangka mengambil masa beberapa dekad, menurut laporan berkenaan.

Tebing Barat turut mengalami kemerosotan paling teruk pernah direkodkan, didorong sekatan pergerakan dan akses serta kehilangan peluang dalam semua sektor ekonomi, menurut laporan itu.

“Kemusnahan berterusan ini menimbulkan keraguan besar mengenai kemampuan Gaza untuk dibangunkan semula sebagai ruang dan masyarakat yang boleh didiami.

Skala kemusnahan yang dialami wilayah berkenaan mencetuskan krisis berangkai — ekonomi, kemanusiaan, alam sekitar dan sosial — yang menolak wilayah itu daripada keadaan terbelakang kepada keruntuhan sepenuhnya,” kata UNCTAD. – AFP

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel Bunuh 4 Lagi Penduduk Palestin Dalam Serangan Terkini

Next Post

Pelarian Gaza Derita Sejuk Melampau, Khemah Musnah Dibadai Ribut

Related Posts