
BEIJING – China menegaskan sokongan mereka terhadap pengiktirafan negara Palestin selepas beberapa negara Barat termasuk Britain, Kanada, Australia dan Portugal mengambil langkah berani mengiktiraf kedaulatan Palestin.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun pada Isnin menegaskan bahawa Gaza adalah milik rakyat Palestin dan mesti kekal di bawah pentadbiran Palestin.
Beliau turut menyeru gencatan senjata segera di wilayah itu ketika tentera Israel meneruskan serangan darat.
“Keamanan tidak boleh dicapai melalui kekerasan. Krisis kemanusiaan yang semakin parah di Gaza menuntut tindakan segera kuasa dunia,” katanya.
Sementara itu Rusia pula melalui jurucakapnya, Dmitry Peskov, menegaskan bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan untuk menamatkan konflik berlarutan itu.
“Ini merupakan pendekatan asas kami dan kami percaya ia satu-satunya cara bagi mencari penyelesaian kepada konflik yang amat kompleks ini,” katanya.
Rusia dan China turut memberi amaran bahawa langkah unilateral tidak akan membantu mencapai keamanan. Beijing menegaskan akan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin dan mendesak Israel mengambil tanggungjawab terhadap penderitaan yang berlaku di Gaza.-Agensi
Sumber: Sinar Harian