
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah di Lubnan akan berkuat kuasa hari ini.
Kesepakatan itu dicapai selepas kedua-dua pihak menerima perjanjian dengan AS dan Perancis sebagai pengantara.
Biden berkata, pertempuran di sempadan Israel-Lubnan akan berakhir pada jam 4 pagi waktu tempatan.
Katanya, perjanjian itu yang membuka jalan untuk menamatkan konflik yang meragut ribuan nyawa sejak tercetus perang di Gaza tahun lalu, bertujuan menjadi titik noktah kepada permusuhan secara kekal.
“Ini direncanakan sebagai titik noktah permusuhan secara kekal.
“Kumpulan Hizbullah dan organisasi lain tidak akan dibenarkan lagi mengancam keselamatan Israel,” katanya dalam ucapan di Rumah Putih.
Pada masa sama, Biden berkata, Israel juga akan mengundurkan angkatan tenteranya secara berperingkat dalam tempoh 60 hari, manakala tentera Lubnan akan mengambil alih kawalan kawasan berhampiran sempadannya dengan Israel untuk memastikan Hizbullah tidak membina semula infrastruktur di situ.
“Orang awam di kedua-dua pihak akan dapat kembali ke komuniti mereka dengan selamat dalam kadar segera,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Lubnan, Abdallah Bou Habib, berkata tentera negara itu bersedia untuk menempatkan sekurang-kurangnya 5,000 anggota di selatan Lubnan apabila tentera Israel berundur.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini dilaporkan berkata, beliau bersedia melaksanakan perjanjian gencatan senjata dan akan bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran oleh Hizbullah sambil menegaskan Israel akan mengekalkan ‘kebebasan tindakan ketenteraan sepenuhnya’.
Netanyahu, yang berdepan tentangan terhadap perjanjian itu dalam kalangan kerajaan gabungannya berkata, gencatan senjata akan membolehkan Israel memberi tumpuan kepada ancaman dari Iran, menambah semula bekalan senjata, memberi tentera waktu rehat dan memulaukan Hamas.
“Kami akan melaksanakan perjanjian ini dan bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran.
“Dengan koordinasi penuh bersama AS, kami mengekalkan kebebasan tindakan ketenteraan sepenuhnya. Jika Hizbullah melanggar perjanjian atau cuba melakukan tindakan senjata semula, kami akan menyerang dengan tegas,” katanya.
Beliau juga mendakwa, Hizbullah yang disokong Iran dan bersekutu dengan Hamas kini berada dalam keadaan lebih lemah berbanding permulaan konflik.
“Kami sudah melumpuhkan mereka selama beberapa dekad, menghapuskan pemimpin tertinggi mereka, memusnahkan sebahagian besar roket dan peluru berpandu, menumpaskan ribuan pejuang serta menghancurkan infrastruktur selama bertahun-tahun berhampiran sempadan kami,” katanya.
Pegawai kanan Hizbullah, Hassan Fadlallah berkata, kumpulan itu akan kekal aktif selepas perang dengan Israel berakhir, termasuk membantu penduduk Lubnan yang terjejas kembali ke kampung halaman mereka dan membangunkan semula kawasan yang musnah akibat serangan Israel.
Dalam wawancara dengan Reuters pada Selasa, Hassan mengesahkan peranan kumpulan itu akan kekal meneruskan perjuangannya sekalipun selepas perjanjian gencatan senjata dicapai.
Sebagai bukti, beliau berkata, apabila serangan Israel terhadap Lubnan berakhir, Hizbullah yang sebelum ini berjuang di medan perang akan terbabit membantu memindahkan rakyat kembali ke rumah mereka dan memulakan usaha pembinaan semula.- Berita Harian
#beritahariini #sebarkankemenangan #akhiripenjajahan #ummahfadhilah #bumimikraj
Join telegram channel untuk dapatkan lebih banyak info Bumi Mikraj, Palestin : klik t.me/bumimikraj