“Hamas Bukan Organisasi Pengganas, Tidak Perlu Dilucutkan Senjata” – PLO

BAITULMAQDIS, 7 RAMADAN – Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Azzam al-Ahmad menegaskan bahawa Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) bukan sebuah organisasi pengganas dan menolak gesaan supaya pergerakan itu melucutkan senjata.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama akhbar Mesir, Al-Shorouk, yang turut menyentuh beberapa isu penting termasuk masa depan pentadbiran Gaza, hubungan antara PLO dan Hamas serta tekanan antarabangsa supaya Pihak Berkuasa Palestin melakukan pembaharuan.

Menurut beliau, perbincangan rasmi akan dimulakan tidak lama lagi bagi membolehkan Hamas dipertimbangkan menyertai kerangka PLO. Al-Ahmad dipilih ke jawatan itu pada Mei lalu selepas Hussein al-Sheikh dilantik sebagai Naib Presiden Pihak Berkuasa Palestin.

Dalam masa sama, beliau mengkritik cadangan Amerika Syarikat berkaitan pembaharuan Pihak Berkuasa Palestin. Katanya, syarat yang dikemukakan adalah mustahil dan boleh menjejaskan identiti nasional Palestin.

Antara tuntutan yang didakwa terkandung dalam cadangan tersebut ialah meminda kurikulum sekolah dengan membuang simbol seperti peta dan bendera Palestin, sesuatu yang disifatkannya tidak boleh diterima.

Mengulas peristiwa 7 Oktober, al-Ahmad menyifatkan serangan itu sebagai satu kesilapan strategik kerana rakyat Palestin terpaksa menanggung korban jiwa dan kemusnahan yang besar.

Beliau turut menyentuh reaksi negara Arab terhadap perang yang sedang berlaku. Katanya, selain Mesir dan Jordan, kebanyakan negara Arab gagal mengambil langkah berkesan untuk menghalang pemindahan rakyat Palestin dari tanah air mereka.

Kenyataan tersebut menggambarkan cabaran besar yang dihadapi kepimpinan Palestin dalam usaha menyatukan fraksi politik utama ketika konflik di Gaza masih berlarutan dan tekanan antarabangsa terus meningkat.

Sumber; Tv Pertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel Ancam Tawan Gaza Sepenuhnya Jika Hamas Enggan Serah Senjata

Next Post

Ekstremis Yahudi Bertindak Melampau Bakar Masjid, Cemar Kesucian Ramadan

Related Posts