
GAZA, 2 ZULHIJJAH – Israel mengarahkan penutupan Hospital al-Awda, satu-satunya hospital yang masih beroperasi di utara Gaza, sekali gus memaksa pegawai kesihatan bergegas memindahkan puluhan orang yang masih berada di fasiliti perubatan tersebut.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, arahan Israel itu merupakan sebahagian daripada jenayah berterusan terhadap sektor kesihatan di wilayah berkenaan yang kini dikepung dan terus dibedil secara kejam.
“Ini merupakan kesinambungan kepada pelanggaran dan jenayah terhadap sektor perubatan yang dilakukan oleh penjajah Israel,” kata kenyataan kementerian.
Sejak awal pagi Khamis, sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin telah terkorban akibat serangan udara rejim Zionis di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza.
Hospital al-Awda, yang dianggap ‘talian hayat’ bagi penduduk di utara Gaza, kini terpaksa menghentikan operasi selepas tekanan berterusan Israel termasuk arahan pemindahan paksa penduduk Palestin, terutamanya di kawasan utara dan timur Bandar Gaza.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa seramai 97 orang masih berada di hospital tersebut, termasuk 13 pesakit yang memerlukan rawatan segera.
WHO merancang untuk menjalankan misi pemindahan pada hari Jumaat bagi memindahkan pesakit-pesakit terbabit ke fasiliti lain.
“Kementerian Kesihatan menggesa semua pihak berkaitan agar memastikan perlindungan terhadap sistem kesihatan di Semenanjung Gaza sebagaimana dijamin oleh undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan,” tambah kenyataan itu.
Penutupan Hospital al-Awda dilihat sebagai satu lagi langkah kejam Israel untuk melemahkan sistem kesihatan Palestin di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin memburuk akibat kepungan dan kekurangan bekalan asas termasuk makanan serta ubat-ubatan.
Sumber: Tv Pertiwi
#beritahariini
Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj