Tebing Barat Terus Diceroboh, Israel Umum Penempatan Baharu Tanpa Peduli Sekatan

RAMALLAH: Israel meluluskan 22 penempatan Yahudi baharu di Tebing Barat yang diduduki, langkah yang dijangka menambah ketegangan dengan sekutu-sekutu tertentu yang sebelum ini mengancam akan mengenakan sekatan ke atas tindakan sedemikian.

Menteri Kewangannya Israel, Bezalel Smotrich, seorang tokoh ultra-nasionalis yang menyokong kedaulatan penuh Israel ke atas Tebing Barat, menulis di platform X semalam, berkata penempatan itu akan dibina di utara Tebing Barat tanpa memperincikan lokasi spesifik.

Media Israel memetik kenyataan Kementerian Pertahanan bahawa penempatan baharu itu termasuk pengiktirafan sah terhadap ‘pos-pos haram’ sedia ada serta pembinaan penempatan baharu.

Jurucakap kepada Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz setakat ini tidak memberikan sebarang maklum balas apabila diminta mengulas mengenai pengumuman itu.

Pihak Berkuasa Palestin yang disokong Barat dan mempunyai kuasa terhad di Tebing Barat, bersama kumpulan pejuang Hamas yang berpangkalan di Gaza, mengecam keputusan Israel itu.

Jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh menyifatkan keputusan itu sebagai ‘tindakan provokatif yang berbahaya’ dan menuduh Israel terus menyeret rantau itu ke dalam ‘kitaran keganasan dan ketidakstabilan’.

“Kerajaan pelampau Israel ini sedang berusaha sedaya upaya menghalang penubuhan negara Palestin yang merdeka,” katanya kepada Reuters sambil menggesa campur tangan segera daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Bagi rakyat Palestin, peluasan penempatan haram Yahudi dianggap sebagai halangan utama kepada usaha menubuhkan negara Palestin merdeka yang merangkumi Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Bilangan negara Eropah yang menggesa Israel menamatkan perang di Gaza semakin bertambah. Pada masa sama, Britain, Perancis dan Kanada pada bulan ini turut memberi amaran kepada Israel mereka mungkin mengenakan sekatan bersasar sekiranya Israel meneruskan peluasan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Menteri Britain bagi Asia Barat, Hamish Falconer mengecam kelulusan penempatan baharu oleh Israel, sambil menyifatkannya sebagai ‘halangan sengaja terhadap penubuhan negara Palestin’.

“Penempatan haram bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, menggagalkan penyelesaian dua negara, dan tidak menjamin keselamatan Israel,” katanya di platform X.

Majoriti masyarakat antarabangsa menganggap penempatan Israel sebagai haram di sisi undang-undang antarabangsa, namun Israel menganggap penempatan itu sah dari sudut undang-undang domestiknya.

Manakala beberapa ‘pos haram’ pula tidak sah secara rasmi tetapi sering kali dibiarkan dan ada yang akhirnya disahkan secara rasmi.

B’Tselem, sebuah pertubuhan hak asasi manusia terkemuka di Israel, menuduh kerajaan sayap kanan Israel memajukan agenda ‘ketuanan Yahudi menerusi rampasan tanah Palestin dan pembersihan etnik di Tebing Barat’.

Dalam satu kenyataan, B’Tselem turut mengecam masyarakat antarabangsa kerana “‘membiarkan jenayah Israel terus berlaku’.

Sebaliknya, keputusan Israel itu dipuji oleh Yisrael Ganz, pengerusi Majlis Yesha yang mewakili penempatan Yahudi dan mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Ganz menyifatkan langkah itu sebagai tindak balas terhadap usaha Pihak Berkuasa Palestin menubuhkan sebuah negara.

“Keputusan bersejarah ini memberi mesej yang jelas, kita bukan sahaja berada di sini untuk kekal, tetapi untuk menubuhkan Negara Israel bagi semua penduduknya serta memperkukuh keselamatannya,” katanya.

Kira-kira 700,000 peneroka Israel kini tinggal di antara 2.7 juta rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, kawasan yang ditawan Israel daripada Jordan semasa perang 1967.

Sumber: Berita Harian

#beritahariini

Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel Arah Tutup Hospital Al-Awda, Hospital Terakhir Beroperasi Di Utara Gaza

Next Post

PBB Dedah Israel Terus Sekat Keperluan Asas Rakyat Di Gaza

Related Posts