Israel, AS Tarik Diri Daripada Rundingan Gencata Senjata Gaza

BAITULMAQDIS: Israel dan Amerika Syarikat (AS) menarik balik delegasi masing-masing daripada rundingan terbaharu gencatan senjata Gaza semalam.

Utusan AS, Steve Witkoff, menuduh kumpulan militan Palestin, Hamas, gagal bertindak secara ikhlas dalam rundingan itu.

Langkah itu menandakan satu lagi kegagalan dalam usaha mencapai gencatan senjata di Gaza, membebaskan tebusan Israel yang ditahan Hamas serta meredakan penderitaan rakyat Palestin yang berdepan krisis kemanusiaan semakin buruk.

Witkoff berkata pengantara sudah berusaha keras namun ‘Hamas tidak menunjukkan kesepakatan atau bertindak dengan niat baik’.

“Kami kini akan mempertimbangkan pilihan alternatif untuk membawa pulang tebusan serta cuba mewujudkan keadaan lebih stabil untuk rakyat Gaza,” katanya di X.

Hamas menyatakan pihaknya terkejut dengan kenyataan Witkoff, sambil menegaskan pendirian kumpulan itu telah diterima baik oleh pengantara dan membuka jalan ke arah mencapai perjanjian menyeluruh.

“Gerakan ini menegaskan komitmen untuk meneruskan rundingan dan terbabit dalam cara yang membantu mengatasi halangan serta membawa kepada perjanjian gencatan senjata kekal,” kata Hamas dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Seorang pegawai Israel yang mengetahui butiran rundingan berkata, maklum balas Hamas terhadap cadangan gencatan senjata terbaru ‘tidak membolehkan kemajuan tanpa konsesi’ daripada kumpulan itu, namun Israel berhasrat meneruskan perbincangan.

Israel dan Hamas berdepan tekanan dalam dan luar negara untuk mencapai perjanjian selepas hampir dua tahun berperang, dengan keadaan kemanusiaan di Gaza semakin parah dan rakyat Israel bimbang dengan nasib tebusan Israel yang ditahan.

Puluhan orang dilaporkan mati kebuluran di Gaza dalam beberapa minggu kebelakangan ini ketika gelombang kebuluran melanda wilayah itu, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata dua lagi mangsa meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan. Ketua Hospital Shifa di Bandar Gaza berkata kedua-duanya adalah pesakit yang menghidap penyakit lain tetapi meninggal selepas beberapa hari tidak makan.

Sementara itu, wanita yang mendapatkan bantuan untuk keluarga mereka semalam mendakwa kontraktor AS menguruskan pengagihan bantuan meminta mereka hadir mengambil barangan tetapi kemudian melepaskan gas pemedih mata dan semburan lada ke arah mereka.

Kontraktor terbabit, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) mendakwa tindakan itu terpaksa diambil penerima bantuan bertindak di luar kawalan sehingga menibulkan risiko berlaku kecederaan.

Israel mendakwa pihaknya sudah membenarkan kemasukan bekalan makanan mencukupi untuk penduduk Gaza, dan menuding jari kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana lambat mengagihkannya.

PBB pula berkata ia beroperasi sebaik mungkin mengikut keadaan yang ditetapkan Israel. – REUTERS

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Singapura Desak Gencatan Senjata Segera & Benarkan Bantuan Ke Gaza

Next Post

Pembunuhan Berterusan Secara Senyap Di Genting Gaza

Related Posts