
BAITULMAQDIS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa Israel segera membenarkan kemasukan bantuan ke Gaza.
Desakan itu dibuat beberapa jam selepas rejim Zionis menggantung penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah terbabit perang, di tengah-tengah lanjutan gencatan senjata kelihatan menemui jalan buntu.
Dalam satu kenyataan yang dimuatnaik secara dalam talian, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menggesa agar bantuan kemanusiaan segera kembali disalurkan ke Gaza.
Beliau turut menggesa semua pihak melakukan segala usaha untuk mengelak kembalinya permusuhan agar semua tebusan dibebaskan seperti dijanjikan.
Ketua Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Thomas Fletcher, pula menyifatkan keputusan Israel menghentikan bantuan ke Gaza sebagai situasi membimbangkan dan berkemungkinan melanggar undang-undang antarabangsa.
Wartawan AFP di lapangan menyaksikan trak sarat dengan barangan berbaris panjang di sempadan Mesir dekat lintasan Rafah, selepas Israel mengumumkan penggantungan bantuan.
Menurut seorang penduduk Rafah di sempadan selatan Gaza, Umm Mohammad Abu Laia, bimbang krisis akan berlaku sebaik pengumuman itu dibuat.
“Sejak pagi tadi, kami tidak melihat ada trak yang masuk. Harga barangan asas melonjak sebaik sahaja peniaga mendengar mengenai penutupan lintasan,” katanya.
Fasa pertama gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari lalu, menyaksikan peningkatan bantuan ke Gaza selepas perang memusnahkan sebahagian besar bangunan, mengusir hampir seluruh penduduk dan mencetuskan kelaparan meluas.
Ketika ditanya wartawan mengenai risiko kebuluran di wilayah terbabit, Menteri Luar Israel, Gideon Saar, menafikannya dengan menyifatkan ia sebagai pembohongan.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memutuskan mulai pagi semalam, kemasukan barangan dan bekalan ke Semenanjung Gaza digantung.
Ia turut menyatakan bakal ada akibat bagi Hamas jika mereka tidak menerima lanjutan gencatan senjata sementara yang akan berpanjangan sehingga bulan Ramadan bagi umat Islam serta perayaan Paskah bagi masyarakat Yahudi.- Berita Harian
‘Sebarkan Kemenangan, Akhiri Penjajahan’
Join telegram channel untuk dapatkan lebih banyak info Bumi Mikraj, Palestin : t.me/bumimikraj